Kebanyakan orang tidak mempunyai masa lapang, sibuk dengan tugas dan kerja,
tetapi jiwanya tetap kosong, tidak ada ketenteraman dan tidak ketahuan apa yang
sebenarnya dikejar.
Cara
awal yang perlu dilakukan untuk mengatasi kekosongan jiwa bagi membolehkan
terasa hidup ini begitu bermakna ialah kembali kepada Allah. Allah S.W.T.
berfirman seperti yang tersebut dalam surah ar-Ra’d 28:
“Mereka
yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah
hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
Salah
satu cara mengingati Allah seperti yang dijelaskan dalam ayat ini ialah dengan
mendirikan solat. Di luar solat pula, seseorang itu tetap perlu terus-menerus
mengingati Allah samada ketika berdiri, duduk, juga ketika baring (an- Nisa:
103). Jelasnya, andai seseorang itu mahukan hidup yang benar-benar bermakna,
dia hendaklah
mengingati Allah pada setiap masa.
mengingati Allah pada setiap masa.
Langkah
pertama yang perlu puan lakukan ialah dengan melakukan ibadah di waktu malam.
Bangun lebih kurang pukul 3.30 pagi, yang dinamakan “waktu mustajab.” Untuk
tujuan ini puan perlu tidur awal selewat-lewatnya pukul 11 malam. Sebaik-baik
sahaja terjaga, puan hendaklah menyebut nama Allah, bersyukur kepada-Nya,
bertaubat, ataupun berlindung kepada Allah. Kemudian terus bangun mengambil
wuduk dan melakukan solat sunat.
Mula-mula
lakukan Solat Sunat Taubat dua rakaat, diikuti dengan beristighfar,
sembahyang tahjud, tasbih dan witir. Jangan lupa berzikir, yang diikuti
dengan berselawat. Bilangan istighfar, zikir dan selawat dilakukan menurut
keupayaan. Kalau boleh lakukan sehingga 100 kali setiap satu, andainya lebih
maka itu adalah lebih elok.
Cara-cara
melakukan amalan yang dijelaskan ini secara terperinci boleh dirujuk daripada
buku-buku yang mudah didapati di kedai-kedai dan sebagainya.
Tersebut
dalam hadis-hadis bahawa waktu mustajab itu perlu kerana pada waktu itu Allah
akan memperkenankan doa mereka yang berdoa dan mengampuni dosa mereka yang
memohon keampunan.
Dalam
sebuah hadis riwayat Abu Daud, an-Nasai ibn Majah dan al-Hakim dinyatakan
bahawa: Barang siapa selalu memohon keampunan, Allah akan beri jalan keluar
daripada setiap kesempitan yang melanda, kelapangan daripada dukacita dan Allah
memberinya rezeki yang tidak dikira.
“Sesungguhnya
beribadah di waktu malam itu adalah salah satu jalan untuk memperoleh makam
yang tinggi di sisi Allah.”
(al-Isra': 79)
Ibadah ini merupakan amalan
orang-orang soleh. Cara untuk menghapuskan keburukan yang lalu, mencegah diri
daripada dosa serta berupaya menghindarkan penyakit. Dalam sebuah hadis daripada
Amr bin Abasah R.A. dia pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud:
“Seorang hamba itu paling
hampir kepada Tuhannya ialah pada bahagian malam terakhir. Andainya engkau
berupaya berada di kalangan orang yang mengingati Allah S.W.T. pada saat itu,
maka lakukanlah.”
(Riwayat at-Tarmizi, an-Nasai
dan al-Hakim daripada Amru Bin Ambasah R.A.)
“Sesungguhnya Allah S.W.T.
sukakan mereka yang bertaubat juga mereka yang bersih.”
(al-Baqarah: 222 dan at-Taubah:
108)
Atas penjelasan ini, selain
daripada keperluan untuk melakukan ibadah solat, seseorang itu perlu sentiasa
dalam keadaan suci serta berwuduk. Wuduk merupakan kebersihan jasad dan roh
yang akhirnya memberi kesan pada ketenangan jiwa juga pencegahan penyakit.
Wuduk bukan semata-mata
membasuh bahagian luar anggota jasad dengan air daripada kekotoran, tetapi ia
merupakan lambang penghapusan dosa dan kesalahan menyebabkan seseorang itu
sentiasa hampir kepada Allah.
Mata ada kalanya memerhatikan
sesuatu yang diharamkan, atau pun tangan yang digunakan untuk menyakiti orang
lain. Begitu juga kedua-dua kaki yang mungkin menapak ke jalan yang dilarang,
ataupun telinga yang mencuri pendengaran yang tidak seharusnya didengar. Orang
mengambil wuduk, membasuh anggota dengan air bererti mereka telah membasuh
ataupun menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan oleh anggota tadi.
Dalam sebuah hadis daripada Abu
Hurairah R.A. dinyatakan bahawa nabi S.A.W. ada bersabda:
“Apabila seseorang hamba Muslim
itu berwuduk, lalu membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya setiap
kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua belah matanya dengan air tadi. Apabila
seseorang itu membasuh kedua-dua belah tangannya, maka keluarlah setiap
kesalahan dari kedua-dua belah tangan dengan air. Apabila dia membasuh
kedua-dua belah kakinya, keluarlah setiap kesalahan hasil perbuatan kedua-dua
kakinya dengan air, sehingga keluar semuanya, bersih daripada dosa-dosa.”
(Riwayat Malik, Ahmad, Muslim
dan Tarmizi. Hadis Hasan Sahih.)
Berwuduk juga boleh menjauhkan
was-was syaitan. Was-was syaitan boleh menyebabkan seseorang itu bermasalah
ketika berwuduk, ketika sembahyang iaitu ketika berniat ketika membaca
al-Fatihah terutamanya pada huruf-huruf kesamaran. Syaitan boleh mendatangkan
ingatan-ingatan lampau atau baru berlaku ketika seseorang itu sembahyang,
menyebabkan konsentrasi yang wujud terhakis, menyebabkan hilangnya rasa
khusyuk.
Was-was syaitan juga boleh
menyebabkan seseorang itu rasa kecewa dan kosong dengan hidup ini. Rasa tidak
bermaya dan hampa tanpa sebab yang jelas. Akan timbul rasa sedih atau suka
dengan tidak semena-mena, tanpa alasan. Gangguan ini juga sering menyebabkan
seseorang itu terdorong untuk membunuh diri.
Wuduk juga boleh memadamkan
kemarahan yang sedang melanda. Rasulullah S.A.W. ada bersabda yang bermaksud:
“Marah itu daripada syaitan.
Syaitan itu dijadikan daripada api, sesungguhnya api itu padam dengan air,
kerana itu andainya salah seorang daripada kamu marah, dia hendaklah berwuduk.”
(Riwayat
Ahmad dan Abu Daud.)
Menurut
Anas Bin Malik R.A., Nabi S.A.W. berwuduk setiap kali hendak solat. Wuduk
selain daripada kerana menyentuh al-Quran, disunatkan juga ketika berzikir,
ketika hendak tidur, sebelum makan dan minum bagi orang yang berjunub juga
sebelum mandi junub. Jelas di sini bahawa wuduk merupakan salah satu alamat
ataupun tanda daripada tanda-tanda iman seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah
S.A.W:
“Tidak
memelihara akan wuduk kecuali oleh orang yang beriman.”
(Hadis riwayat Ibn Majah dan
Hakim)
Dalam sebuah hadis lain
daripada Umar bin al-Khattab R.A daripada Nabi S.A.W baginda bersabda:
“Tidak berlaku terhadap salah
seorang daripada kamu yang mengambil wuduk, lalu menyempurnakan wuduknya, lalu
berkata: Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang tunggal,
tidak ada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan
rasul-Nya, kecuali dibuka baginya pintu-pintu syurga yang kelapan dan dia akan
memasukinya daripada mana pintu yang dia suka.”
(Hadis riwayat Muslim)
Untuk menghayati nikmat solat
yang boleh membentuk diri bersifat takwa dan merasa hidup penuh bererti,
seseorang itu hendaklah mempelajari rahsia ibadah ini dengan mendalam.
Mengetahui syarat dan rukun yang mesti dilakukan. Jauh daripada perkara-perkara
yang membatal ataupun merosakkan solat.
Solat adalah hubungan (silah)
antara seorang hamba dengan Tuhannya. Ketika solat manusia mengagung-agungkan
Tuhannya, memuji, mengadu nasib dan derita serta berdoa. Solat adalah cahaya
yang bergemerlapan dalam hati mereka yang beriman, lalu memberi refleksi pada
wajah dengan pancaran kegembiraan, kebersihan pada pancaindera, cahaya yang
diberi hidayah oleh Allah terhadap mereka yang menganuti menyebabkan hidup ini
terasa bermakna dan dihargai, solat adalah ibadah yang mula-mula sekali
difardukan ke atas orang Muslim (an-Nisa: 103).
Untuk meraih penghayatan solat
sepenuhnya, seseorang itu mesti memahami bacaan yang dituturkan terutamanya
pada bacaan wajib. Dengan demikian akan timbul kesedaran hakikat diri,
keagungan Ilahi, keperluan ibadah yang dilakukan dan sebagainya, ada
tomakninah, ikhlas, dan khusyuk. Solat seperti inilah yang berupaya mencegah
pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Orang yang solat dengan khusyuk
ialah mereka yang tunduk anggotanya kepada Allah. Merasa agung dan hebat. Solat
seperti inilah yang boleh menghapuskan dosa kesalahan-kesalahannya yang terdiri
daripada dosa-dosa kecil. Sesungguhnya telah berjayalah orang mukmin iaitu
mereka yang khusyuk terhadap solat mereka (al-Mukminun: 1-2).
Untuk hidup lebih bermakna
seseorang itu mesti bijak mengimbangi masa yang digunakan. Bahagikan masa
dengan saksama untuk keluarga, termasuk anak dan suami, atau pun isteri, untuk
rehat, termasuk waktu tidur, makan angin ataupun melancong keluar negara, juga
bersenam, untuk Allah Yang Maha Pencipta, Allah tidak mencipta jin dan manusia
itu kecuali untuk beribadah kepada-Nya. Dalam membahagi-bahagikan kegiatan
hidup yang dilakukan setiap hari, biar dalam bentuk apa sekalipun, seseorang
itu hendaklah melakukannya semata-mata kerana Allah, bukan kerana adat.
Apabila amalan itu dilakukan
kerana Allah S.W.T. ia akan diperkira sebagai ibadah yang akan memberi pahala.
Sesungguhnya terlalu rugilah mereka yang mempunyai banyak masa tetapi tidak
bijak menggunakannya menyebabkan terasa hidup itu sebagai hampa dan tidak
bermakna.
0 Responses
Catat Ulasan