.B. .L. .O. .G. .A. .J. .I. .M. .A. .Z.

|Politik... | Isu Semasa... | Merapu... | Macam-macam ada... | bukan sekadar blog... |

Posted by ajimaz 0 ulasan

KOTA BHARU, 30 Mei: Rakyat bakal berdepan risiko berganda sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) masih diberi peluang mentadbir negara selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Padah yang bakal ditanggung rakyat antaranya kenaikan harga petrol RON95, diesel dan LPG biar pun kenaikannya ditangguh sementara sekarang.

Lebih membimbangkan lagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diketepikan sebelum ini akan dilaksanakan sepenuhnya apabila rakyat memberi kuasa politik kepada BN.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman berkata, bebanan besar bakal ditanggung rakyat akan menjadi kenyataan sekiranya BN masih diberi mandat pada pilihan raya umum nanti.

”Ini kerana keputusan kerajaan tidak menaikkan harga RON95, diesel dan LPG hanya sebagai taktik memenangi hati rakyat semata-mata.

”Pengumuman tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan BN tidak lagi menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya umum nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor menafikan tindakan kerajaan tidak menaikkan harga RON95 ada kaitan dengan pilihanraya umum.

Azihan juga berkata, keputusan kerajaan BN menangguhkan kenaikan harga bahan api dan LPG sebagai menandakan pilihanraya imum ke-13 semakin hampir sekarang.

Oleh itu, AMK berhujah kenaikan harga barang pastinya tidak lagi terkawal selepas pilihan raya umum nanti apabila BN masih memiliki kuasa politik.

”Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda kenaikan harga RON95, diesel dan LPG sekarang. BN perlu dihalang daripada terus menindas rakyat,” ujarnya.

Menurutnya juga bebanan kehidupan rakyat semakin berat sekarang berikutan keputusan kerajaan sebelum ini menaikkan harga barangan keperluan harian termasuk gula dan memperkenalkan tarif baru elektrik.

”AMK mencabar Perdana Menteri supaya subsidi kepada syarikat besar penjana bebas elektrik (IPP) dimansuhkan bagi membolehkan subsidi itu digunakan untuk rakyat,” katanya.

Sekarang hampir 34 peratus warga pekerja di Malaysia yang berjumlah 4 juta dibayar gaji kurang RM700 sebulan, manakala 40 peratus rakyat berpendapatan kurang RM1500 sebulan.

Azihan juga berharap rakyat perlu bersatu-padu berjuang memastikan kuasa yang dimiliki kerajaan BN sekarang tidak lagi disambung hayatnya selepas pilihan raya umum ke-13.

”Rakyatlah yang akan menjadi tuan yang sebenar dalam menentukan situasi negara pada masa depan. Silap percaturan mereka akan menerima padah,” tambahnya

Posted by ajimaz 0 ulasan

0

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya... kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu... Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna... Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu 'menukar' bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.


Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah... tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan...Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah.

Posted by ajimaz 0 ulasan

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Rakyat terus ditipu lagi dengan permainan licik kerajaan Umno BN, apabila harga petrol RON95 akan dinaikkan setelah harganya kini begitu membebankan.

Pada hal tiga lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat tidak perlu risaau kerana harga RON95 tidak akan dinaikkan.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, cakap Datuk Ismail Sabri itu bagaimanapun tidak boleh dipakai kerana ia hanyalah untuk mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, kenaikan petrol RON95 tidak sepatutnya berlaku kerana jika RON95 dinaikkan ia pasti akan melibatkan bebanan seluruh rakyat.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan RON97 yang hanya digunakan oleh golongan tertentu sahaja, tetapi jika RON95 dinaikkan ia pasti akan turut melibatkan kenaikan harga barangan lain yang pasti akan lebih menghimpitkan lagi kehidupan rakyat pelbagai peringkat.

"Dalam hal ini, saya cukup hairan apabila tiga hari lalu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri yang mengatakan harga RON95 tak akan dinaikkan, hari ini dia sendiri pula yang minta rakyat bersedia kerana RON95 akan dinaikkan lagi atas alasan kenaikan harga minyak dunia.

"Jadi ini jelas menunjukkan cakap pemimpin Umno yang tak boleh dipakai, cakap orang yang tak ada penelitian, tak tegas dan ternyata hanya untuk mengelirukan rakyat sahaja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama hari ini yang mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat bersedia dengan kemungkinan berlaku kenaikan harga petrol RON95.

Menurut Ismail, kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

"Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga," katanya ketika mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa harga bahan mentah itu tidak akan naik buat masa ini.

Ismail Sabri berkata, kenyataan tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.

"Jadi rakyat kena bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku. Ini bermakna sama ada harga akan kekal atau pun naik. Jadi ia bergantung kepada kajian itu," katanya.

Kali terakhir harga RON95 naik pada Disember tahun lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut kesal dan hairan dengan kenyataan Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan trend penurunan harga minyak tidak mungkin berlaku.

"Kenyataan itu amat pelik kerana harga minyak dunia sendiri ada turun naiknya. Jadi kenapa pula harga minyak di Malaysia tak ada penurunannya?

“Ini adalah kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta Kerajaan BN mengkaji balik cadangan untuk mengkaji kembali rasionalisasi subsidi kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat.

"Malah dalam apa keadaan sekalipun, rakyat amat memerlukan subsidi dari kerajaan terutama yang melibatkan minyak. Subsidi untuk minyak pula terutama RON95 melibatkan seluruh rakyat.

"Kerajaan BN jangan pula hanya memberikan subsidi kepada pihak tertentu sahaja seperti IPT yang hanya untuk golongan tertentu sahaja, manakala subsidi RON95 yang melibatkan pelbagai peringkat hendak dikurangkan lagi," katanya.

Posted by ajimaz 0 ulasan


PARIT BUNTAR, 12 Mei: Selepas bertukar menjadi ‘akhbar porno’ dan gagal dalam projek video lucah bersama Umno, Utusan Malaysia bermain api pula dalam soal agama dan perkauman demi untuk menarik sokongan Melayu.

"Kerana itu saya beranggapan dan beri nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa musuh utama negara sekarang bukannya dadah dan lain-lain tetapi ia adalah fitnah dari pemimpin Umno dan akhbar Utusan,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar jangan mengikuti pemberitaan jijik dan kotor Utusan sebagai media Umno.

Sebelum ini, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad Hata Wahiri berkata, agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Hatta dalam wawancaranya dengan laman web, Free Malaysia Today (FMT) (gambar) berkata, Ketua Pengarang Utusan yang ada sekarang akan menerima arahan dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap hari Isnin malam.

Yang hadir dalam mesyuarat itu adalah Najib, timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Husein dan Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

Bagi Khalid Idham (gambar bawah), apa yang berlaku kini menunjukkan Umno semakin tidak beretika dalam berpolitik dengan segala cara dihalalkan demi untuk kekal berkuasa termasuk menggunakan media.

Menurutnya, kebiadaban dan pembohongan Utusan Malaysia dalam laporannya kononnya pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara langsung tiada logik dan tidak berasas.

“Kerana itu rakyat perlu tolak pemimpin yang tidak bermoral dan etika ini pada PRU 13 nanti,” katanya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, pemimpin Umno menggunakan fitnah, seks dan perkauman melalui Utusan kerana mahu menutup isu sebenar negara iaitu rasuah, pembunuhan warga Mongolia yang dikaitkan dengan pimpinan tertinggi parti itu dan isu yang lebih besar lagi.

“Saya kira ini taktik lama yang diulang-ulang untuk mencetus rasa benci rakyat terhadap Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping menutup isu yang lebih besar itu,” katanya.

Tambahnya, ekoran itu menyebabkan rakyat sekarang rasa meluat dan benci terhadap Umno BN.

Buktinya, kata beliau dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak di mana rakyatnya telah membuktikan pada 16 April lalu betapa BN mula tidak diterima dengan peratusan undi yang merosot dan mereka malah hilang 8 kerusi.

Menurutnya yang juga Pengerusi Idham Care , peratusan undi kepada PR meningkat walaupun BN menghalang PR dari berkempen secara bebas di samping dinafikan hak menggunakan media arus perdana seperti mana yang BN lakukan semasa berkempen.

“Kalau dulu Najib kata Anwar boleh demam kalau berdebat dengannya tetapi realitinya sekarang Najib yang tidak nyenyak tidur," katanya

Posted by ajimaz 0 ulasan


Tidak cukup dengan isu liwat, isu video seks pula menjadi pertaruhan yang akhirnya semakin tidak mendapat sambutan. Tidak cukup dengan isu perkauman, kini isu keagamaan pula menjadi modal menagih sokongan! Menakut-nakutkan rakyat dengan omong jahat memang sudah menjadi buah permainan mereka.
Di bawah adalah ketegasan DAP dalam menyatakan pendiriannya;
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menafikan pembabitan parti itu dengan sebarang agenda untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik Perdana Menteri daripada kalangan penganut agama itu.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa DAP mendukung Perlembagaan Persekutuan termasuk memperakui Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Beliau berkata dakwaan kononnya DAP ingin mewujudkan negara Kristian adalah fitnah dan berniat jahat.

"Saya ingin mengulangi pendirian DAP... kita dukung Perlembagaan Persekutuan yang kita buat secara hitam putih. (Kita) sudah tandatangani semua dokumen bahawa kita sokong Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama Persekutuan Malaysia," katanya kepada pemberita di Georgetown.

Sementara itu, laporan polis terus dibuat terhadap Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi yang didakwa terlibat dalam satu pertemuan antara paderi-paderi dari seluruh negara di sebuah hotel di Jalan Macalister, Khamis lepas.

Enam laporan polis dibuat oleh Pemuda Umno Tanjung, Jelutong, Bayan Baru, Bukit Gelugor, Balik Pulau, dan Bukit Mertajam itu dibuat di Balai Polis Jalan

Patani, di Georgetworn kira-kira pukul 2.30 petang.

Selain itu, satu lagi laporan polis dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin di balai polis yang sama terhadap Lim berhubung kenyataannya dalam laporan akhbar yang mendakwa Umno dan Barisan Nasional sengaja menimbulkan isu berkenaan.

- Bernama
Apa lagi yang kurang? Adakah apa yang ditegaskan Lim Guan Eng akan mendapat sokongan MCA, dan GERAKAN ? Lihat baik-baik kenyataan di bawah;
"Saya ingin mengulangi pendirian DAP... kita dukung Perlembagaan Persekutuan yang kita buat secara hitam putih. (Kita) sudah tandatangani semua dokumen bahawa kita sokong Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama Persekutuan Malaysia," - LGE of DAP
Secara hitam putih, DAP dah tandatangan sokongan mereka bahawa Islam adalah agama persekutuan!! Adakah MCA dan GERAKAN buat perkara yang sama atau hanya sekadar 'hear say'??
Hanya kerana Barisan Nasional ingin mendapat sokongan secara rapid, sanggup menggunakan isu agama? Tergamak meletakkan ketegangan agama berada dipenghujungnya?
Rakyat tidak lagi mudah terbeli dengan permainan jahat BN!! Ini bukan era 80an, ini bukan lagi zaman tragedi Memali... Ini zaman kemusnahan sebuah kerajaan angkuh lagi zalim !!
Lawan tetap Lawan !!

Posted by ajimaz 0 ulasan


SHAH ALAM, 7 Mei: Undang-undang Islam sebenar yang dilaksanakan bukan hanya untuk menghukum tetapi lebih kepada memberi didikan kepada rakyat agar tidak melakukan kesalahan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara inilah yang menjadi perbezaan ketara antara hukum tersebut dengan undang-undang ciptaan manusia.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan, di dalam hukum Islam, hakim seboleh mungkin berusaha untuk membebaskan pesalah daripada menghukumnya.

Inilah, ujarnya, keindahan hukum Islam yang mula-mula dilaksanakandi zaman Nabi Muhammad di masa manusia di seluruh dunia ketika itu tercari-cari model perundangan.

Ustaz Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab persoalan dari peserta Seminar Maqasid Syariah anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat, di sini hari ini.

Sebelum itu di awal majlis, beliau membentangkan kertas kerja berkaitan di hadapan hampir seribu peserta dalam kalangan pimpinan PAS berbagai peringkat dari seluruh negara.

Turut menjadi pengulas terhadap kertas kerja itu adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib dan Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Dalam ucapannya juga, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, namun di sana terdapat kes-kes yang pelaku kesalahan yang beriman itu datang menyerah diri dan mengaku serta meminta hukuman itu dilaksanakan.

"Selain itu, mereka juga boleh bertaubat yang mana Allah SWT akan menerima permohonan taubat yang dilakukan bersungguh-sungguh itu dan mereka terlepas daripada azab api neraka di Akhirat kelak," jelasnya.

Beliau juga menyebutkan tentang Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia yang mana boleh ditafsirkan dengan cara lebih positif di mana boleh diubah jadual tertentu bagi mencapai usaha pelaksanaan hukumnya.

Katanya, menurut tokoh undang-undang Islam, Prof Ahmad Ibrahim dan Tun Salleh Abbas yang mengatakan, untuk membolehkan pelaksanaan hukum Islam yang perlu diubah hanyalah Jadual 9.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan perundangan Islam itu hanya tertentu kepada orang-orang Islam sahaja, adapun bukan Islam, mereka boleh memilih sama ada hendak dijatuhkan hukuman menurut Islam atau konvensional.

Sebelum itu, beliau menyatakan takrifan agama atau religion tidak sama dengan Ad-Din yang sebenar kerana selain Islam, mereka mengganggap agama ini hanyalah menyangkuti hal-hal berkaitan rohani dan akhlak semata-mata.

Kerana itu, tambahnya, Islam melarang umatnya memaksa orang lain mengucap untuk masuk Islam kerana hal aqidah ini bersangkutan keyakinan dalam hati dan mesti beramal dengannya.

"Sehinggakan di dalam peperangan pun, Nabi Muhammad SAW. pernah berpesan kepada sahabat-sahabatnya, jika musuh ingin berdamai, hendaklah berhadapan dengan mereka secara damai kerana sikap itu lebih diutamakan," jelasnya lagi.

Sementara itu ketika membentangkan kertas itu, Ustaz Abdul Hadi berkata, takrif Maqasid Syariah adalah mencapai tujuan yang sebenar daripada hukum syariah dan mendapat hikmahnya dengan pelaksanaannya yang tepat.

Tegasnya, syariah adalah petunjuk Allah tentang cara manusia mencapai maslahah menjadi tujuan hukum Allah Maha Adil Rahmat-Nya yang melimpah terhadap makhluknya, sama ada membawa kebaikan atau menolak mudharat dan menghilangkan masyaqqah (kepayahan) bagi mencapai tiga matlamat mereka diciptakan iaitu ibadah, khilafah dan amanah.

Bagi mencapai matlamat, tambahnya, enam Feqh perlu difahami secara mendalam iaitu auroq (kesesuaian lokasi), haraki (memahami perkara berlaku), Waqie' (situasi yang berlaku), Nawazil (peristiwa berlaku), Muwazanat (pertimbangan terperinci perkara yang berlaku tahap pelaksanaan hukum) dan Aulawiyyat (memahami perkara keutamaan, terpenting, besar dan kecil bagi nyatakan hukum dan pelaksanaannya).

"Hanya Kerajaan Islam mampu dan wajib laksanakan hukum Islam secara menyeluruh.

"Kerajaan wajib menguatkuasakan syariat yang dinaskan dan ijtihad bagi pelihara Maqasid Syariyyah yang tepat, istiqamah dan adil, bagi memelihara agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan harta," ujarnya.

Posted by ajimaz 0 ulasan


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk.

Justeru itu, katanya Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

“Sungguhpun PAS menyertai ‘kerjasama politik’ bersama parti-parti rakan kompenan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP), namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini,” tegasnya.

Malah, tambahnya pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa Umno juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

Beliau berkata, andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan.

Katanya lagi, sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

“Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan Umno sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada Umno mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah, malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

“Jika Umno berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul,” ujarnya.

Bahkan, katanya dalam masa yang sama, penganut-penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

Tambahnya, spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara Umno dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama.

“Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera,” katanya.

Menurutnya, spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Posted by ajimaz 0 ulasan

Utusan bermain api

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk.

Justeru itu, katanya Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

“Sungguhpun PAS menyertai ‘kerjasama politik’ bersama parti-parti rakan kompenan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP), namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini,” tegasnya.

Malah, tambahnya pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa Umno juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

Beliau berkata, andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan.

Katanya lagi, sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

“Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan Umno sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada Umno mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah, malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

“Jika Umno berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul,” ujarnya.

Bahkan, katanya dalam masa yang sama, penganut-penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

Tambahnya, spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara Umno dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama.

“Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera,” katanya.

Menurutnya, spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Posted by ajimaz 0 ulasan


1. Mereka yang menghalang penyatuan UMNO dan PAS digelar pengkhianat Islam oleh Mufti Perlis. Sekilas pandang, siapa jua yang menghalang usaha penyatuan adalah pengkhianat. Justeru penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh. Tetapi apabila bercakap soal penyatuan antara PAS dan UMNO, saya sarankan sohibus samahah Mufti Perlis mengkaji terlebih dahulu secara mendalam dan teliti.

2. Antara PAS dan UMNO jangan hanya dilihat pada bangsa dan warna kulit semata - mata lalu disogok agenda penyatuan bangsa melayu. Sebaliknya perlu dilihat bagaimana pula sikap kedua - dua parti melayu itu [PAS dan UMNO] terhadap Islam. Sikap terhadap Islam dan bagaimana mereka menanggapi Islam adalah kayu ukur yang paling penting untuk bercakap soal penyatuan antara kedua parti ini.

3. Sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, namun Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.

Surah Aali Imran 103

4. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt yang bermaksud :

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfaal 63

5. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt yang bermaksud :

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.

Surah al Maaidah 2

6. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

7. Penyatuan antara PAS dan UMNO mesti disokong malah wajib diusahakan jika ianya berteraskan Islam dan berobjektifkan taqwa kepada Allah swt. Pengusahanya dijulang dan penyokongnya dialu - alukan. Sementara penentangnya adalah jahat dan pengkhianat.

8. Sebaliknya penyatuan antara PAS dan UMNO tidak boleh dilaksanakan jika ianya tidak diasaskan kepada Islam dan pula berobjektifkan dosa kepada Allah swt. Pengusahanya dilarang dan penyokongnya pula sia - sia. Sementara penentangnya pula adalah hebat dan berwibawa.

9. Bahkan kerjasama yang disertai PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerana Islam dan ianya dilandaskan di atas konsep Tahaaluf Siasi [kerjasama politik] untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional guna menamatkan siri penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.

10. Tanpa perlu membuang masa lagi, saya mengundang UMNO meninggalkan Barisan Nasional dan meninggalkan segala perbuatan mungkar demi masa depan agama, rakyat dan negara. Ayuh kita bersatu dan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina masa depan dan peradaban baru yang lebih dinamis, jauh dari pengaruh mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Pengusaha yang gigih untuk menamatkan siri keangkuhan kuasa dan sombong dengan dosa yang dilakukan oleh mereka adalah pejuang sementara Penentang usaha inilah pengkhianat Islam.

Posted by ajimaz 0 ulasan


KUALA LUMPUR, 4 Mei: Buli Cina, tipu Melayu, itulah sahaja cara Umno BN untuk terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Pada masa yang sama, parti itu juga terpaksa menjangkitkan wabak takut Cina ke dalam pemikiran orang-orang Melayu sebagai salah satu strategi utamanya untuk menipu orang-orang Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa, kata beliau.

"Setelah menggunakan bermacam-macam cara untuk memeras ugut orang-orang Cina supaya menyokongnya, termasuk ancaman tidak ada lagi menteri dari kalangan kaum Cina jika kaum itu enggan mengundi Barisan Nasional (BN), sokongan orang-orang Cina terhadap parti itu tetap semakin pupus.

"Akibatnya, Umno hanya mengharapkan undi orang-orang Melayu sahaja. Untuk menghasut orang-orang Melayu supaya menyokongnya, parti itu terpaksa menyebarkan wabak fobia Cina dan fobia DAP.

"Itu taktik Yahudi Zionis yang digunakan oleh Amerika Syarikat yang menakut-nakutkan dunia dengan fobia Islamnya.

Tidak menghairankan jika Umno khususnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menggunakan taktik yang sama kerana Yahudi Zionis di dalam Apco Worldwide adalah tempat beliau dan parti yang dikepalainya memohon petunjuk," kata beliau ketika menolak hasutan perkauman Najib terhadap PAS.

Dengan memainkan sentimen perkauman, Perdana Menteri mendakwa penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) hanya menguntungkan DAP.

Dengan harapan untuk memudahkan partinya memenangi pilihan raya umum akan datang, Presiden Umno itu kelihatan berharap sangat agar PAS keluar dari PR.

"PAS, cukuplah dalam pakatan pembangkang, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari pakatan pembangkang," katanya ketika berucap di Kuala Terenganu Sabtu lalu.

Mahfuz menyifatkan hasutan perkauman Najib itu sebagai keluhan orang putus asa dan terdesak.

"Najib dan Umno sudah berputus asa dengan undi orang-orang Cina dan hanya mengharapkan sokongan orang Umno.

"Untuk memastikan Umno menang di kawasan-kawasan yang ditandinginya, racun perkauman digunakan habis-habisan untuk menghasut PAS supaya bersendirian dan bila ada pertandingan tiga penjuru di antara Umno, PAS dan PR, Najib menyangka mudahlah Umno memenangi kerusi-kerusi yang ditandinginya.

"Tidak perlu aktivis politik, budak berhingus pun boleh membaca muslihat yang sangat tidak cerdik itu. Apa boleh buat, setakat itu sahaja kemampuan dan kebolehan Perdana Menteri untuk berfikir bagi memastikan partinya terus berkuasa," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan orang-orang Melayu agar tidak membiarkan Umno yang membawa wabak perkauman terus menipu mereka kerana jika dibiarkan, negara ini boleh terjerumus ke dalam kehancuran akibat rusuhan kaum.

"Keganasan strategi buli Cina, tipu Melayu tidak boleh terus dibiarkan.

"Jika dibiarkan dan Umno terus berkuasa, rusuhan kaum mungkin tercetus dan orang-orang Melayu pula akan terus rugi dan ketinggalan kerana parti perasuah tentulah lebih mengutamakan tuan-tuannya yang terdiri dari tauke-tauke yang selama ini menjadi rakan kongsinya, bukannya orang-orang Melayu yang tidak mampu mengenyangkan perasuah," katanya.

Beliau juga mengingatkan, orang-orang Melayu juga tidak boleh membiarkan Umno terus berkuasa untuk membuli orang-orang Cina.

"Jika dibiarkan, orang-orang Melayu juga akan terpalit dengan imej jahat itu. Orang-orang Melayu tidak boleh membiarkan Umno mempalitkan mereka dengan imej pembuli yang jahat dan gila bermusuh," kata Mahfuz.

Beliau bagaimanapun tidak nampak kemungkinan Umno akan menghentikan agenda buli Cina dan tipu Melayu itu kerana hanya itulah satu-satunya cara untuk membolehkan parti itu terus berkuasa.

Posted by ajimaz 0 ulasan


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seni Najib Razak seolah-olah bersorak gembira bersama dengan Amerika Syarikat ekoran kejayaan membunuh Osama Bin Ladin tidak disenangi oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Bagi beliau, Najib prejudis dan tidak bertanggung jawab ketika membuat kenyataan dunia akan aman selepas kematian Osama tanpa mengambil kira dasar luar Amerika yang berterusan memerangi umat Islam.

"Bagi saya, PAS sama sekali tidak toleransi dengan keganasan di dunia, namun kegembiraan Najib seolah-olah bersorak sorai bersama Amerika dengan kematian Osama satu perkara yang tidak boleh diterima oleh dunia Islam.

"Imej sebegini sangat buruk di kalangan umat Islam dunia," kata Salahudin.

Presiden Amerika, Barack Obama mengumumkan kematian Osama dalam satu serangan tentera Amerika di bandar Obbottabat, 100 km ke utara Islamabad.

Jenazah beliau kemudiannya disemadikan dengan menenggelamkannya ke dalam laut.

Ekoran itu, Najib dalam kenyataannya berkata, kematian Osama akan menyebabkan dunia akan lebih aman, selamat dan adil.

Beliau juga berkata, kematian Osama akan memulihkan nama baik Islam yang tercalar ekoran imej negatif yang dibawa oleh pengasas Al Qaeda itu.

Najib berkata demikian selepas melancarkan rumah terbuka Vaisakhi di Dataran Merdeka semalam.

"Bagi saya ini kenyataan yang prejudis dan tidak bertanggungjawab serta mengelirukan dari Perdana Menteri tanpa mengambil kira fakta yang ada," kata Salahudin.

Bagi beliau faktor dasar luar Amerika yang terus menerus memerangi umat Islam perlu diambil kira.

Posted by ajimaz 0 ulasan


Membalas kenyataan Datuk Seri Najib Razak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti teras BN itu untuk menyertai PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan bagi semua kaum.

"Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?" kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam laporan dibawa Harakah Daily hari ini, Presiden PAS itu menegaskan, seruan Najib semalam adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat.

Semalam, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.

Najib berkata, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

"Kita lihat poster di sini (Terengganu) "PAS ganti Umno", realitinya "DAP ganti PAS", di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP," kata beliau.

"PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno dilaporkan mempelawa PAS agar menyertai BN dengan berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

"Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

"Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN," kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu berkata, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

"PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman," kata Hadi lagi.

Jelas Hadi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama "tahaluf siyasi" yang dibenarkan agama dan tidak menggadai prinsip.

Hadi menambah, kerjasama PAS-DAP tidak sama dengan kerjasama antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadai prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara ini.

"Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90 peratus adalah orang Melayu-Islam?

"Siapakah pula yang mendiskriminasi penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?" kata Hadi.

Selain itu soal Hadi, "siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?"

Justeru kata Hadi, jawapannya adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.

Selain Hadi, semalam pemimpin-pemimpin kanan PAS, antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden Salahuddin Ayub juga menolak bulat-bulat pelawaan Najib

Subscribe to My Blog

Subscribe Here