.B. .L. .O. .G. .A. .J. .I. .M. .A. .Z.

|Politik... | Isu Semasa... | Merapu... | Macam-macam ada... | bukan sekadar blog... |

Posted by ajimaz 0 ulasan

KUALA LUMPUR, 9 Feb: PAS Wilayah Persekutuan (WP) berharap semua pihak terutama media-media utama di negara ini tidak memainkan peranan mempromosikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang biasa disambut pada 14 Februari setiap tahun kerana ia boleh menyumbang kepada gejala keruntuhan akidah dan akhlak khususnya remaja di negara ini.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dalam hal itu, PAS WP ingin memberi ingatan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwanya berkenaan hukum menyambut Valentine’s Day:

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”

Katanya, dengan gejala sosial yang semakin meningkat seperti pergaulan bebas lelaki dengan perempuan, berzina, bersekedudukan, pelacuran sehingga membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, buang anak, dan lain-lain lagi, sudah tentu perayaan mengarut seperti Valentine’s Day juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar gejala sosial yang semakin parah di negara ini.

Tambahan pula, ujarnya dengan kepesatan bandaraya besar seperti Kuala Lumpur yang menjadi pusat kepada kelab-kelab malam, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, hotel bajet serta rumah tumpangan, di samping konsert-konsert yang dianjurkan, gejala sosial sudah seakan tidak terkawal.

“PAS WP merasa bimbang dengan semua aktiviti hiburan yang diadakan di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya media tidak sewajarnya menambah rancakkan lagi promosi Hari Kekasih atau Valentine’s Day.

Selain itu, tambahnya PAS WP juga meminta pengusaha-pengusaha restoran, hotel, rumah tumpangan, dan lain-lain tidak mempromosikan hari tersebut dengan pelbagai tawaran menarik seperti diskaun, pakej tertentu, harga promosi dan lain-lain lagi.

Katanya lagi, PAS WP mengingatkan bahawa usaha mempromosi hari tersebut boleh mengundang dosa kerana membantu mempromosikan aktiviti maksiat yang telah dihukumkan haram.

“Akhirnya, PAS WP menasihati remaja dan belia di Wilayah Persekutuan agar menunjukkan akhlak dan tauladan yang baik dalam setiap masa.

“Valentine’s Day’ bukan budaya umat Islam dan jangan jadikan hari tersebut sebagai hari melepas nafsu bersama pasangan masing-masing,” ujarnya.

0 Responses

Subscribe to My Blog

Subscribe Here