.B. .L. .O. .G. .A. .J. .I. .M. .A. .Z.

|Politik... | Isu Semasa... | Merapu... | Macam-macam ada... | bukan sekadar blog... |

Posted by ajimaz 0 ulasan

Bolehkah daging korban di makan kesemuanya oleh orang yang berkorban ? Apakah boleh daging korban dihadiahkan kepada orang kaya ? Macamana pula kalau dihadiahkan atau disedekahkan kepada orang kafir ? Apakah pula daging korban itu boleh dijadikan upah kepada penyembelih ? Macamana pula jika korban itu disebabkan wasiat, apakah dagingnya boleh dimakan ?

Inilah persoalan yang selalu dikemukakan terutama apabila sahaja Hari Raya Haji atau Korban.

Hukum daging Korban Nazar

Daging korban wajib seperti korban nazar hukumnya wajib disedekahkan kesemuanya. Haram atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika dimakannya daging itu wajib diganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

Jika binatang korban yang dinazarkan itu beranak selepas ditentukan sebagai nazarnya, anak binatang tersebut adalah mengikut hukum ibunya iaitu disembelih kedua-duanya samada hamilnya selepas penentuan nazar ataupun sebelumnya. Dalam hal hukum daging kedua-duanya itu hendaklah disedekahkan sebahagian daripada daging ibunya dan boleh dimakan daging anaknya itu kesemuanya.

Hukum Daging Korban Sunat

Daging korban sunat pula adalah sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Ta'ala :


Tafsirnya : " Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir".

( Surah al-Hajj : 28 )

Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu dalam keadaan mentah lagi basah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.

Afdhalnya disedekahkan semuanya melainkan dimakannya sedikit kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya. kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada mementingkan diri sendiri.

Afdhalnya yang dimakan itu ialah bahagian daripada hatinya, kerana telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam telah makan sebahagian daripada hati binatang korbannya, tetapi makan disini bukanlah bererti dia wajib memakannya.

Jika dimakan kesemua daging sunat itu dan tiada sedikitpun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin adalah dikira sah korbannya, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.

Harus daging korban sunat itu dihadiahkan kepada orang kaya yang Islam untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan-tujuan yang lain seperti memilikinya, menjualnya atau sebagainya, berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, daging itu adalah menjadi milik mereka dan harus bagi mereka menjual daging tersebut kepada orang lain.

Haram menyedekahkan dan menghadiahkan daging korban kepada orang kafir, walaupun sedikit sama ada ia korban wajib atau sunat. Begitu juga haram atas orang yang berkorban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada korban itu, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh al-Hakim bermaksud : "Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira baginya korban ".

Haram kulit atau daging binatang korban itu dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

Dalam menyedekahkan daging korban itu tidak memadai dimasak daging tersebut kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya, kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang masak. Yang mesti dimiliki oleh fakir dan miskin itu ialah daging korban berkenaan bukan kulit atau hatinya atau sebagainya.

Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

Begitulah penjelasan dan panduan mengenai daging korban yang diharapkan dapat menambah pengetahuan dalam perkara daging korban, agar ibadat yang dilakukan itu sempurna dan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Categories:

0 Responses

Subscribe to My Blog

Subscribe Here