.B. .L. .O. .G. .A. .J. .I. .M. .A. .Z.

|Politik... | Isu Semasa... | Merapu... | Macam-macam ada... | bukan sekadar blog... |

Posted by ajimaz 0 ulasan

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin,11 Mei 2013

1. Tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliyyah yang diharamkan syarak. Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara multi-racial seperti Malaysia ini.

Ia akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar. Lantas, akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudice perkauman.

2. Antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiyyah yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan. Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. Keadilan Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama.

3. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau cina atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.

Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)

“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

4. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titik keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut:

“I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

5. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya):

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:

“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

6. Maka, haram bagi seorang muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya. Wajib kita mempamirkan keindahan kesejagatan Islam (the universality of Islam) kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia.

Categories:

0 Responses

Subscribe to My Blog

Subscribe Here