Saya merujuk laman web Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membaca keputusan rasmi fatwa tentang perhimpunan yang diharamkan, tetapi, senarai muzakarah ke-99 masih tidak tersenarai.
Saya kurang selesa untuk membaca ulasan dari pihak ketiga kerana ia tidak menjamin ketulenan isi dan fakta.
Namun, laporan akhbar yang sepakat melaporkan bahawa sebab ('illah') BERSIH 3.0 difatwa haram kerana berniat untuk menjatuhkan kerajaan, di samping berniat untuk merusuh dan merosakkan harta benda awam.
Kenyataan ini menyebabkan saya tertarik untuk memberi respon berdasarkan pengetahuan cetek saya.
Saya agak keliru, apakah sumber Majlis Fatwa yang mengatakan niat BERSIH 3.0 ingin menumbangkan kerajaan yang sah melalui himpunan? Sedangkan web rasmi BERSIH hanya menyenaraikan tuntutan pilihanraya bersih dan adil. Tuntutan pilihanraya bersih dan adil adalah wajib. Manakala menang dan 'menumbangkan kerajaan' melalui pilihanraya adil dan bersih adalah sah di sisi syarak. Maka, sebab pertama adalah secara rasmi tertolak.
Manakala tuduhan yang mengatakan BERSIH berniat untuk merusuh pula agak keterlaluan. Saya menjadi pemerhati BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0. Hemat saya mudah, majoriti peserta BERSIH datang dengan tenang dan aman. Namun, provokasi melampau dari pihak keselamatan menyebabkan sedikit huru-hara berlaku. Huru-hara ini tidak harus ditafsrikan sebagai huru-hara rusuhan kerana ia hanyalah respon kegerunan orang ramai kepada pedihnya gas pemedih mata dan gatalnya air kuning dari meriam air.
Satu perkara yang harus difikirkan sejenak, ketika mana peserta BERSIH datang dengan botol susu anak dan botol mineral serta sebungkus popia, pihak keselamatan telah bersiap siaga dengan peluru gas, meriam air, gari plastik, malah peluru hidup. Siapa yang bersedia untuk mengganas?
Dan satu soalan cepu emas, sejak bila Majlis Fatwa Kebangsaan pandai membaca niat orang? Kalian bedah dada mereka? (Asyaqaqta Qalbah? : Hadith)
Manakala untuk kes BERSIH 3.0, saya fikir, Majlis Fatwa tidak cermat apabila terus menghukum BERSIH haram dek kerana sebilangan kecil perusuh yang masih belum dikenal pasti siapa mereka, dan kenapa mereka bertindak sedemikian. Alangkah baiknya, kalau selepas mengambil sumber dari pihak polis dan agensi kerajaan, Majlis Fatwa Kebangsaan bertemu pula dengan pihak penganjur BERSIH 3.0. Bukankah mendengar dari kedua-dua pihak itu wajib dan dituntut sebelum memberi hukum?
Cadangan saya untuk Majlis Fatwa Kebangsaan demi menjamin kredibiliti Majlis yang dinaungi Majlis Raja-Raja:
1. Mendapatkan maklumat dari sumber yang pelbagai, termasuk sumber yang kontra. Dalam hal BERSIH, sumber dari penganjur dan peserta BERSIH sangat penting.
2. Benar-benar bertindak sebagai badan bebas yang menjaga kesucian agama Islam dan menonjolkan imej tersebut. Sedangkan sekarang, majlis fatwa kebangsaan hanya dilihat memberi fatwa secara selektif dan dianggap sebagai lidah pembela kerajaan Malaysia.
3. Saya tertanya-tanya, apa pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap :
- Penyebaran video dan gambar lucah
- Tuduhan tanpa bukti dan saksi
- Pembaziran dan penyalahgunaan wang negara
- Penyalahgunaan wang zakat
- Kerajaan menggunakan kekerasan kepada rakyat awam
- Hukum menipu dalam pilihanraya
- Hukum menafikan hak royalti Kelantan
*Penulis merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah, Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan, dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan.
0 Responses
Catat Ulasan