Kita semua sangat-sangat terkejut bahkan ianya mengejutkan seluruh negara apabila seorang anak kecil yang berumur 5 tahun allahyarhamah adik Nurul Nadirah Abdullah diculik, mungkin dirogol dan dibunuh kejam serta mayatnya dibakar. Telah diketahui umum bahawa itulah cara yang digunakan oleh sang pembunuh yang berhati iblis untuk melupuskan bukti jenayah yang telah dilakukan sebagaimana dalam kes yang melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosila Lawiya dan rakan-rakannya yang lain.
Kita pastinya akan tertanya-tanya mengapakah anak kecil yang tidak berdosa ini dijadikan korban sedemikian rupa. Adakah semata-mata kerana melepaskan nafsu serakah ataupun disebabkan pertikaian dan salah faham yang pada kebiasaannya melibatkan orang-orang dewasa tetapi pada masa yang sama telah mengheret dan mengorbankan jiwa yang tidak mengerti apa-apa yang sepatutnya kita lindungi dan sayangi.
Kita pastinya merasa hiba dan pilu tatkala mendengar berita ini. Biarpun kita tahu bahawa, rohnya pasti berada dalam Syurga Allah SWT tetapi cara kematiannya teramat tragis dan memilukan untuk diterima. Kita pastinya amat bersimpati dengan keadaan keluarga beliau yang tentunya trauma dengan keadaan ini. Dan ini juga bukanlah kali pertama ianya berlaku dan mungkin juga bukan kali terakhir akan berlaku. Persoalan apakah tanggungjawab kita, tanggungjawab pihak berkuasa dan tanggungjawab pemerintah untuk menghentikan perkara ini daripada berlaku.
Kita semua pastinya tahu apakah punca menyebabkan manusia berubah perwatakan menjadi kejam dan zalim. Bukankah hidup kita dipandu oleh agama yang membentuk jiwa kita secara dalaman. Keimanan dalam diri kita merupakan acuan kepada perwatakan kita. Apabila kita jauh dari mengingati dan mempunyai perasaan takut kepada Allah SWT, jiwa kita akan dipandu oleh hawa nafsu yang sentiasa tidak pernah puas dan sentiasa condong kearah kemungkaran.
Bukankah Allah SWT telah memberi tahu kepada kita jalan penyelesaiannya iaitu Al-Quran dan Sunnah RasuNya. Bukankah Allah SWT telah memberi jaminan kepada kita bahawa Hukum Allah SWT adalah bentuk hukuman yang paling sempurna yang bersifat adil dan mencegah berbanding hukuman buatan manusia. Kita semua telah mengakui bahawa sistem ekonomi Islam adalah sistem ekonomi yang adil dan sempurna. Tetapi mengapa tidak Undang-Undang Jenayah Islam? Kalau ya mengapa tidak digunapakai bahkan ditolak. Sepatutnya, kita perlu menghimpunkan semua cendakiawan Islam meliputi semua disiplin ilmu merangka dan mencari jalan bagaimana untuk melaksanakan Undang-Undang Islam. Apakah saat ini kita masih belum terfikir tentang kelebihan Undang-Undang Islam. Sekiranya Undang-Undang Syariah telah dilaksanakan di negara ini, mungkinkah kejadian yang menimpa adik Nurul Nadirah Abdullah akan berlaku? Mungkin ya mungkin tidak kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Tetapi bukankah Allah SWT telah memberi jaminan kepada kita semua, dengan melaksanakan Undang-Undang Syariah merupakan jalan penyelesaian untuk kesemua masalah kebejatan sosial yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.
Apakah pilihan kita? Apakah kita boleh beri jaminan bahawa dengan bentuk undang-undang yang sedia ada, adakah ianya mampu mencegah perkara ini daripada berulang? Ataupun Hukum Allah SWT yang sememangnya dijamin oleh Allah SWT yang pastinya boleh mencegah kejadian ini daripada berlaku. Adakah kita melakukan kesilapan sekiranya melaksanakan Undang-Undang Syariah yang pastinya adil dan bersifat mendidik serta mencegah dan pastinya kejadian seumpama ini tidak akan berulang lagi. Atau kita masih lagi bergantung kepada undang-undang sekarang ini yang mana kita sendiri tidak mampu memberi jaminan adakah perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi? Sesungguhnya kita diciptakan oleh Allah SWT dan kepadaNya kita akan kembali, jadi pastinya Dia tahu apakah bentuk hukum yang boleh mencegah segala tindak tanduk kita dan ianya telah dinyatakan secara terperinci di dalam A-Quran. Pilihan terletak ditangan kita dan pastinya ada musibah yang boleh menimpa jika tidak mengamalkannya dan pastinya ada pembalasan di atas keingkaran di kemudian hari.
0 Responses
Catat Ulasan