.B. .L. .O. .G. .A. .J. .I. .M. .A. .Z.

|Politik... | Isu Semasa... | Merapu... | Macam-macam ada... | bukan sekadar blog... |

Posted by ajimaz 0 ulasan


Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penulis minum bersama beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di kafe. Sedang kami berbual-bual, datang seorang Timbalan Menteri, sambil membawa secawan kopi, duduk bersama-sama dengan kami semeja.

Tiada lain yang menjadi topik perbualan selain isu Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan skandal syarikat NFC milik anggota keluarganya.

Dengan nada merungut Timbalan Menteri itu berkata, sepatutnya Shahrizat sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri dan Ketua Pergerakan Wanita Umno. Dalam erti kata lain, beliau mengatakan Shahrizat merupakan liabiliti yang akan membebankan Umno dalam jangka panjang.

Memang pun, soal Shahrizat sudah beberapa kali dibangkitkan wakil rakyat Umno-BN. Dengan nada lantang, mereka mendesak Shahrizat melepaskan jawatan. Gesaan itu dibuat berulang kali tetapi kerajaan dan parti pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, diam membisu.

Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali al-Habshee sudah tidak tahan sehingga terpacul perkataan 'biawak hidup' dari mulutnya. Lantas penyokong Shahrizat yang berang, terus menyerang Syed Ali dan mempersoalkan kepada siapa ungkapan biawak hidup itu dilontarkan.

Berbalik kepada sembang-sembang kami dengan Timbalan Menteri tadi, penulis bertanya kepada beliau, apakah sewaktu ahli politik menjawat jawatan awam seperti PM, TPM, Menteri dan Timbalan Menteri yang mempunyai kuasa serta kedudukan, tidak diberi panduan oleh SPRM.

Panduan ini penting agar penjawat jawatan utama dalam kerajaan ini, boleh menghindarkan diri mereka daripada salahguna kuasa dan rasuah.

Timbalan Menteri itu tidak terus menjawab soalan penulis. Beliau mengambil pen yang tersemat dibajunya, lalu melukiskan garis empat berbentuk palang t. Beliau kelihatan serius sambil menulis. Kami semua terpaku dan memerhatikan sahaja tingkah lakunya.

Di sebelah kanan atas garisan t tersebut, ditulis 'ibu bapa'. Di sebelah kiri atas, ditulis 'suami isteri'. Pada ruang kanan di bawah ditulis 'adik-beradik', manakala di ruang kiri bawah ditulis 'anak beranak'.

Kami masih tidak memahami apa maksud beliau. Lalu Timbalan Menteri itu menghela nafasnya dengan agak panjang, lalu berbicara:

"Saya tanyakan kepada pegawai SPRM, jika seseorang penjawat awam mahu mengelakkan tuduhan rasuah dalam pemberian tender atau projek, siapakah golongan yang harus dielakkan?"

"Pegawai SPRM itu melukiskan kepada saya, lukisan yang saya buatkan kepada you all. Elak empat golongan ini, sudah pasti akan selamat," katanya ringkas.

"Maksud YB, dalam kes NFC Shahrizat, kalau begini aturan SPRM, beliau sudah pasti terbabit dalam rasuah?" soalan pantas penulis kepada Timbalan Menteri tersebut.

"Well...saya tidak boleh cakap lebih-lebih, ini terpulang kepada SPRM," kata beliau sambil menghirup tegukan terakhir kopinya dan terus berlalu pergi.

Kata-kata beliau tadi walaupun ringkas, tetapi cukup jelas. Kebetulan ada cakap sosek-sosek di kalangan wakil rakyat Umno, supaya mereka jangan membela Shahrizat tatkala isu NFC dibangkit Pakatan Rakyat di dalam sidang Dewan.

"Tadi aku berucap nak lawan pembangkang, tapi Menteri tu tegur aku, dia kata buat apa engkau bela Sharizat. Dia dapat duit, engkau dapat tahi," kata seorang MP kepada beberapa orang rakannya sambil menyedut rokok di meja luar kafe.

Memang benar, Umno pun pening hendak membela Shahrizat dan keluarganya. Gelagat Shahrizat sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas menyebabkan ramai perwakilan Umno yang melugai.

Tetapi mereka terpaksa menyokong kerana seluruh persidangan sudah diorkestrakan untuk memaki hamun Pakatan Rakyat.

Umno sebenarnya tidak ada pilihan lain. Jika mereka mencantas Shahrizat kerana terpalit dengan rasuah, orang yang memberikan tender RM250 juta itu adalah orang Umno sendiri.

Jika mereka tidak mencantas Shahrizat, seluruh parti Umno akan dituduh parti perasuah yang melindungi perasuah dan mengamalkan dasar korupsi, kronisme dan nepostime.

Sekarang pun Umno sudah tidak tahan. Tahi-tahi lembu NFC sudah terpalit banyak ke muka Umno, sehingga hari ini rakyat sudah mula beranggapan, seluruh pemimpin dan perwakilan Umno 'bagaikan lembu yang dicucuk hidung' sementara menunggu untuk disembelih sahaja.

Paling mereka tidak tahan, ada kalangan pemimpin Umno yang merungut kerana mereka digelar 'bodoh macam lembu' kerana membela kemewahan keluarga Shahrizat tanpa usul periksa.

Bagi kita Pakatan Rakyat, kita menjalankan tugas mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno, yang asasnya amat kuat, terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara.

Jika Najib tidak mahu mengambil tindakan terhadap Shahrizat pun tidak mengapa. Jika pun selepas ini, mungkin ada yang membuat perisytiharan bahawa mereka menolak laporan audit dan membebaskan Shahrizat, pun tidak mengapa.

Ingatlah bahawa rakyat kita semakin celik dan bijak. Umno boleh simpan Shahrizat, Umno boleh tutup kes NFC, tetapi Umno tidak boleh menghalang Shahrizat dan NFC menjadi antara paku-paku besar yang akan dipala dengan tukul besi bagi melengkapkan pembinaan keranda Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Adios Umno-BN.

0 Responses

Subscribe to My Blog

Subscribe Here