Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penulis minum bersama beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di kafe. Sedang kami berbual-bual, datang seorang Timbalan Menteri, sambil membawa secawan kopi, duduk bersama-sama dengan kami semeja.
Tiada lain yang menjadi topik perbualan selain isu Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan skandal syarikat NFC milik anggota keluarganya.
Dengan nada merungut Timbalan Menteri itu berkata, sepatutnya Shahrizat sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri dan Ketua Pergerakan Wanita Umno. Dalam erti kata lain, beliau mengatakan Shahrizat merupakan liabiliti yang akan membebankan Umno dalam jangka panjang.
Memang pun, soal Shahrizat sudah beberapa kali dibangkitkan wakil rakyat Umno-BN. Dengan nada lantang, mereka mendesak Shahrizat melepaskan jawatan. Gesaan itu dibuat berulang kali tetapi kerajaan dan parti pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, diam membisu.
Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali al-Habshee sudah tidak tahan sehingga terpacul perkataan 'biawak hidup' dari mulutnya. Lantas penyokong Shahrizat yang berang, terus menyerang Syed Ali dan mempersoalkan kepada siapa ungkapan biawak hidup itu dilontarkan.
Berbalik kepada sembang-sembang kami dengan Timbalan Menteri tadi, penulis bertanya kepada beliau, apakah sewaktu ahli politik menjawat jawatan awam seperti PM, TPM, Menteri dan Timbalan Menteri yang mempunyai kuasa serta kedudukan, tidak diberi panduan oleh SPRM.
Panduan ini penting agar penjawat jawatan utama dalam kerajaan ini, boleh menghindarkan diri mereka daripada salahguna kuasa dan rasuah.
Timbalan Menteri itu tidak terus menjawab soalan penulis. Beliau mengambil pen yang tersemat dibajunya, lalu melukiskan garis empat berbentuk palang t. Beliau kelihatan serius sambil menulis. Kami semua terpaku dan memerhatikan sahaja tingkah lakunya.
Di sebelah kanan atas garisan t tersebut, ditulis 'ibu bapa'. Di sebelah kiri atas, ditulis 'suami isteri'. Pada ruang kanan di bawah ditulis 'adik-beradik', manakala di ruang kiri bawah ditulis 'anak beranak'.
Kami masih tidak memahami apa maksud beliau. Lalu Timbalan Menteri itu menghela nafasnya dengan agak panjang, lalu berbicara:
"Saya tanyakan kepada pegawai SPRM, jika seseorang penjawat awam mahu mengelakkan tuduhan rasuah dalam pemberian tender atau projek, siapakah golongan yang harus dielakkan?"
"Pegawai SPRM itu melukiskan kepada saya, lukisan yang saya buatkan kepada you all. Elak empat golongan ini, sudah pasti akan selamat," katanya ringkas.
"Maksud YB, dalam kes NFC Shahrizat, kalau begini aturan SPRM, beliau sudah pasti terbabit dalam rasuah?" soalan pantas penulis kepada Timbalan Menteri tersebut.
"Well...saya tidak boleh cakap lebih-lebih, ini terpulang kepada SPRM," kata beliau sambil menghirup tegukan terakhir kopinya dan terus berlalu pergi.
Kata-kata beliau tadi walaupun ringkas, tetapi cukup jelas. Kebetulan ada cakap sosek-sosek di kalangan wakil rakyat Umno, supaya mereka jangan membela Shahrizat tatkala isu NFC dibangkit Pakatan Rakyat di dalam sidang Dewan.
"Tadi aku berucap nak lawan pembangkang, tapi Menteri tu tegur aku, dia kata buat apa engkau bela Sharizat. Dia dapat duit, engkau dapat tahi," kata seorang MP kepada beberapa orang rakannya sambil menyedut rokok di meja luar kafe.
Memang benar, Umno pun pening hendak membela Shahrizat dan keluarganya. Gelagat Shahrizat sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas menyebabkan ramai perwakilan Umno yang melugai.
Tetapi mereka terpaksa menyokong kerana seluruh persidangan sudah diorkestrakan untuk memaki hamun Pakatan Rakyat.
Umno sebenarnya tidak ada pilihan lain. Jika mereka mencantas Shahrizat kerana terpalit dengan rasuah, orang yang memberikan tender RM250 juta itu adalah orang Umno sendiri.
Jika mereka tidak mencantas Shahrizat, seluruh parti Umno akan dituduh parti perasuah yang melindungi perasuah dan mengamalkan dasar korupsi, kronisme dan nepostime.
Sekarang pun Umno sudah tidak tahan. Tahi-tahi lembu NFC sudah terpalit banyak ke muka Umno, sehingga hari ini rakyat sudah mula beranggapan, seluruh pemimpin dan perwakilan Umno 'bagaikan lembu yang dicucuk hidung' sementara menunggu untuk disembelih sahaja.
Paling mereka tidak tahan, ada kalangan pemimpin Umno yang merungut kerana mereka digelar 'bodoh macam lembu' kerana membela kemewahan keluarga Shahrizat tanpa usul periksa.
Bagi kita Pakatan Rakyat, kita menjalankan tugas mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno, yang asasnya amat kuat, terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara.
Jika Najib tidak mahu mengambil tindakan terhadap Shahrizat pun tidak mengapa. Jika pun selepas ini, mungkin ada yang membuat perisytiharan bahawa mereka menolak laporan audit dan membebaskan Shahrizat, pun tidak mengapa.
Ingatlah bahawa rakyat kita semakin celik dan bijak. Umno boleh simpan Shahrizat, Umno boleh tutup kes NFC, tetapi Umno tidak boleh menghalang Shahrizat dan NFC menjadi antara paku-paku besar yang akan dipala dengan tukul besi bagi melengkapkan pembinaan keranda Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Adios Umno-BN.
Bukan Islam terima hudud tapi malangnya umporno tolak hudud
Individu berkenaan sebaliknya berpandangan, undang-undang berkenaan akan dapat mengurangkan kadar jenayah seperti rompakan.
Seorang daripada mereka, yang ingin dikenali sebagai Puan Gan berpendapat penjenayah akan lebih takut untuk melakukan perbuatan itu kerana hukuman berat yang boleh dikenakan melalui undang-undang berkenaan.
Kedai kasutnya itu terletak berhampiran zon bersejarah Kota Bharu yang menempatkan bangunan dan lokasi bersejarah yang menjadi tarikan pelancong, termasuk Balai Syura, Istana Jahar dan Istana Batu.
Malangnya, kawasan itu sunyi pada waktu malam dan beliau bimbang keadaan itu akan mengundang kegiatan jenayah.
"Awal tahun ini, kedai emas (di hadapan kedainya) telah dirompak. Sebab itulah sekiranya undang-undang hudud ini dikuatkuasa, orang akan berfikir dua kali sebelum melakukan rompakan," katanya.
Wanita kelahiran Selising, Pasir Puteh itu juga yakin hukuman hudud seperti potong tangan akan mengelakkan jenayah seperti itu berlaku.
"Memanglah bunyinya sangat kejam (potong tangan). Tapi sekiranya seorang mangsa ragut terjatuh dan cedera parah, ia akan memberi kesan mendalam kepada keluarga... Mungkin lebih teruk," katanya lagi.
Ditanya lanjut, Puan Gan juga berpandangan bahawa peraturan keislaman yang diperkenalkan pihak berkuasa tempatan – Majlis Perbandaran Kota Baru Bandaraya Islam – tidak menjejaskan beliau.
Peraturan tersebut termasuk denda yang dikenakan ke atas wanita Islam untuk kesalahan tidak menutup aurat, termasuk tidak memakai baju berlengan panjang.
"Saya tidak fikir ia memberi kesan sangat kepada kita, malah orang Cina di sini pun berpakaian sopan, mungkin kita lebih konservatif," katanya yang menambah peraturan itu tidak dikuatkuasakan dengan ketat.
Beliau bagaimanapun terkejut apabila diberitahu bahawa ramai golongan bukan Islam di pantai barat Malaysia menentang hudud dan hukuman berkenaan.
"Kadang-kadang saya rasa surat khabar mainkan isu ini banyak sangat," katanya lagi.
2. Dato’ Nazri Aziz pernah secara terang-terang di satu forum anjuran Majlis Peguam : “Umno terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS”.
KITA TAK HAIRAN JIKA BUKAN ISLAM SEPERTI KARPAL SINGH ATAU CHUA SOI LEK MENOLAK HUKUM HUDUD SEBAB MEREKA BUKAN ISLAM...
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menganggap dua pimpinan parti itu iaitu Datuk Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS. Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin lalu juga secara terbuka mengumumkan kesediaan menerima jemputan daripada perdana menteri untuk membincangkan usaha menyatupadukan PAS dan Umno. Katanya, beliau akan berbuat demikian dengan menggunakan Islam sebagai teras. Mustafa berkata, kenyataan Hassan turut menggambarkan dia seolah-olah mempersoal perjuangan PAS selama ini dan terpengaruh dengan tuduhan Umno BN bahawa PAS diperalat DAP. |
DR. ABU Hassan Hasbullah, tuan punya badan kaji selidik Zentrum tidak pernah kata sebelumnya pengundi muda cenderung kepada BN. Kini katanya, pengundi muda sudah cenderung kepada BN.
Dr. Mahathir tidak pernah menggalakkan Perdana Menteri Najib mengadakan PRU 13 segera. Tunggu dulu. Kini katanya, sudah tiba waktu terbaik bagi BN mengadakan pilihan raya.
Ertinya PRU 13 sudah boleh diadakan dan inilah masa terbaiknya untuk menang semula.
Ia mengingatkan saya perkembangan semasa saya berada di London pertengahan 1970. Ramalan semua akhbar ialah masa itu waktu terbaik bagi Perdana Menteri Edward Heath dari Parti Konservatif mengadakan pilihan raya.
Sebulan kemudian saya singgah lagi di London dalam perjalanan pulang dari Amerika. England sedang sibuk kempen. Bila balik ke Malaysia, berita yang saya baca menyebut, parti Perdana Menteri Edward Heath kalah.
Itulah hakikat nujum ada yang tepat, ada yang tidak. Nujum yang tepat ialah yang meramalkan kelahiran laki-laki yang akan membinasa kuasa Raja Namrud dan satu lagi bayi laki-laki akan menghancurkan regim Firaun, raja segala kezaliman.
Kata nujum, sekarang adalah waktu terbaik bagi kerajaan Najib untuk menang semula. Dua bulan lagi, Februari dan Mac mungkin berubah.
PAS dan sekutu Pakatan Rakyatnya sudah bersedia, seperti gendang perang Badar sudah dipalu atau seperti tentera Islam menghadapi perang Hunain.
PAS dengan perjuangan sucinya menghadapi pilihan raya dengan semangat peperangan Nabi SAW dalam jihadnya. Tetapi PRU 13 itu dihadapi PAS bersama yang 98 peratus bukan Islam dan 50 peratus PKR bukan Islam.
Macam mana PAS mahu menyamakannya dengan perang Rasulullah SAW?
Memang perang Badar disertai sepenuhnya oleh mujahiddin. Perang Uhud pula mulanya diikuti oleh munafiqin pimpinan Abdullah bin Ubai. Rasulullah tidak menghalang penyertaan mereka. Menjelang medan perang mereka cabut lari.
Selepas pembebasan kota Makkah baginda memimpin perang Hunain. Ia diikuti sama oleh ribuan penduduk Makkah yang belum Islam. Penyertaan mereka tidak dilarang baginda.
Kafir Arab Makkah itu tidak menyertainya kerana jihad dan Islam, tetapi mahu mengelakkan musuh Islam menyerang Nabi SAW di Makkah. Jika musuh itu masuk Makkah, mereka, keluarga dan harta benda mereka akan diserang. Maka mereka menyertai tentera Islam menujui Hunain.
Dalam PRU 13 ini, PAS menyetainya dengan perjuangan Islam yang suci. DAP dengan semangat anti rasuah dan membela golongan yang tertindas, manakala PKR pula menegakkan keadilan dan membasmi penyelewengan.
Kalau jihad Rasulullah SAW dalam perang Hunain tidak cacat dengan penyertaan kafir Makkah, maka tiada apa kurangnya bagi perjuangan suci PAS itu dijalankan bersama dengan DAP dan bukan Melayu dalam PKR.
Dengan semangat itulah PAS menghadapi PRU 13 itu dengan DAP dan PKR untuk mara ke Putrajaya.
Pakatan Rakyat telah lama menunggu. Memang Pakatan Rakyat tidak menduga PM Najib menunggu hingga akhir penggal untuk mengadakan pilihan raya. Kalau boleh dia mahu secepat mungkin menampatkan penggal yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah Badawi.
Dia mahu mandatnya sendiri dan mahu membersihkan kerajaannya dari saki baki orang lama. Setengah dari orang Mahathir dan orang Abdullah seperti Syed Hamid Albar, Azalina Osman, Idris Haron sudah digugurkan, tetapi orang-orang itu masih ada di Parlimen.
Tetapi Najib bukanlah orang yang berani sangat. Dia tidak berani mengadakan pilihan raya di Perak yang dirampaskan dari Pakatan Rakyat. Dia cuba dapatkan Selangor dengan cara dia mengambil Perak. Dia cuba dapatkan majoriti dua pertiga Parlimen dengan menaja MP Pakatan menjadi MP Bebas.
Tetap dia tidak berani mengadakan segera PRU 13. Sekali pun ramai pembangkang sudah dibeli – dalam dan luar Parlimen – sehingga orang keliru dengan keupayaan Pakatan Rakyat, tetapi Najib tidak berani mengadakan pilihan raya segera.
Memang Mahahir pun melarangnya. Lompat beberapa orang MP dan
ADUN tidak menjanjikan suasana selesa baginya. Hanya sekarang sudah baik mengikut nujum Mahathir. Tetapi belum tentu Mac dan April nanti keadaan baik lagi.
Kebelakangan ini, gendang perang perkauman hangat dipalu tanpa henti oleh para pemimpin UMNO. Kedengaran di perhimpunana Agung UMNO dan juga Himpunan Perdana Pekida Malaysia, suara yang ingin ‘menggegarkan’ bangsa Melayu dengan pelbagai amaran, kononnya masa depan kekuasaan politik Melayu sedang dicabar dan ingin dihapuskan. Gambaran yang segelap mungkin dilakarkan oleh para ‘pemimpin Melayu’ ini dengan bertujuan menghasilkan persepsi bahawa sekiranya UMNO/BN dijatuhkan dan PR berkuasa; lebih-lebih lagi sekiranya di peringkat Pusat, maka alamatnya Melayu akan turut terpupus di bumi sendiri.
MELAYU ATAU UMNO YANG TERCABAR?
Pada hakikatnya, yang dicabar adalah kepimpinan UMNO dan juga BN, BUKAN kepimpinan Melayu! Kepimpinan UMNO dan BN dicabar atas sebab kedurjanaan, pengkhianatan dan tidak amanahnya mereka. Walaupun mereka telah diberi amanah untuk memimpin dan memerintah selama 54 tahun, apa yang telah dihasilkan adalah budaya kepimpinan rasuah, pegampuan dan kronisma. Pemimpin bergelumang dengan maksiat dan kekayaan sedangkan rakyat, terutamanya orang Melayu, hidup terhimpit di kota dan di desa.
Sekiranya seseorang membuat tinjauan pada hujung minggu lepas di persekitaran PWTC, maka dia akan melihat segala jenis kenderaan mewah yang terdapat di muka bumi diguna pakai oleh mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pejuang’ bangsa. Tersusun rapi barisan Vellfire, Hummer, Mercedes, BMW, Porsche Cayenne dan berbagai lagi kenderaan mewah milik para ‘pejuang’ ini. Kemewahan ini diketengahkan sebagai bukti ‘pengorbanan’ mereka dalam ‘perjuangan’ yang begitu lama dan ‘sukar’. Yang anehnya, si ‘pejuang’ semakin mewah sambil yang kononnya diperjuangkan terus miskin dan semakin tertekan.
Sekiranya yang dimaksudkan dengan ‘politik Melayu’ adalah politik rasuah, fitnah dan rasis yang bercanggah dengan ajaran dan nilai agama Islam, maka politik jenis itu sememangnya ingin kita tumpaskan. Akan tetapi, adakah politik Melayu bersifat begitu? Bagi UMNO, itulah politik Melayu yang mereka ingin orang Melayu pertahan dan banggakan. Sekiranya ada yang menentang politik yang sedemikian rupa, maka mereka ini dikatakan penentang ‘politik Melayu’! Pada hakikatnya ianya bukan politik Melayu tetapi sebaliknya politik UMNO!
Mereka yang mentakrifkan politik Melayu sebagai politik rasuah, fitnah dan rasis serta ingin terus mempertahankannya pada hakikatnya ingin membunuh masa depan politik Melayu. Lihat sahaja pada wanita UMNO yang mengerumun Shahrizat, menyatakan sokongan mereka terhadap dirinya walaupun beliau terbabit dengan skandal Feedlot Negara. Adakah kepimpinan Melayu sebegitu rupa yang ingin dipertahankan? Di manan maruah dan wawasan kepimpinan yang adil dan bertaqwa di sisi UMNO?
KUASA MUTLAK ADA PADA ORANG MELAYU?
Berkata pemimpin UMNO bahawa di dalam BN, UMNO berkuasa sepenuhnya. UMNO yang dominan dan boleh melakukan apa jua yang UMNO inginkan. Tiada yang boleh menghalang dan itulah bukti politik Melayu berkuasa! Sedangkan dalam PR, parti politik Melayu adalah minoriti dan tiada kuasa, terpaksa akur kepada kehendak DAP menurut mereka lagi.
Hakikatnya sebenarnya keadaan berkuasa secara dominan dan tanpa halangan adalah punca masalah politik Negara. Telah dikatakan berulang kali bahawa “power corrupts and absolute power corrupts absolutely” atau “kuasa merosakkan dan kuasa penuh tanpa batasan merosakkan secara menyeluruh tanpa batasan”. Inilah sebabnya mengapa budaya rasuah, kronisma dan rasis dapat diamalkan oleh UMNO tanpa bantahan. Lihat sahaja pada skandal Feedlot. Tidakkah penyelewengan sebanyak RM 250 Juta itu berlaku tanpa apa-apa tindakan atau hukuman? Malahan ada juga yang berusaha keras mempertahankannya. Melalui pembelaan ini, mereka ingin merosakkan ummat dan bangsa.
Adakah kuasa mutlak diperlukan sekiranya apa yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil? Biasanya, yang terpaksa bersandar kepada kekuasaan yang mutlak adalah pemimpin ‘dictator’ dan mereka yang ingin melebar-luaskan kerosakan di atas muka bumi. Maka apabila mereka ingin melaksanakan kezaliman dan ianya dibantah, maka kuasa mutlak digunakan untuk mengalahkan golongan yang membantah.
Sebaliknya, apabila yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil, maka sokongan rakan dan rakyat umum akan menentukan ianya terlaksana. Seperti pada zaman Rasulullah (SAW) di mana ummat Islam minoriti pada awalnya di Madinah, namun kepimpinan Baginda (SAW) telah diterima semua atas sebab keadilan Baginda.
ADAKAH KUASA POLITIK MELAYU AKAN HANCUR?
Maka ditanya pula, “adakah dengan hilangnya kuasa mutlak maka akan hilang juga kuasa politik Melayu?” Jawapannya “Tidak”! Yang akan hilang adalah hanya kemampuan melakukan rasuah dan kezaliman! Dan dengan itu akan dibebaskan politik Melayu dari budaya perosak yang telah diasaskan sekian lama oleh UMNO dan BN di kalangan bangsa Melayu. Akan subur seterusnya politik Melayu dengan budaya keislaman yang sebenar, bebas dari rasuah, penyelewengan, kronisma dan rasisma.
Pada hakikatnya dalam PR tiada pihak yang akan mempunyai kuasa mutlak dan oleh itu dasar semak dan timbang (check and balance) akan lebih bermakna. PAS tidak boleh melakukan sesuka hatinya. Begitu juga DAP dan begitulah juga PKR. Semua berkuasa dan apa sahaja yang ingin dilakukan mesti mendapat persetujuan dari semua pihak. Tidak perlu PAS akur pada kehendak DAP atau DAP kepada kehendak PAS. Apa yang diperlukan ialah menentukan sesuatu dasar yang benar dan adil yang akan dipersetujui bersama.
Maka sebagai contoh, sekiranya ada yang ingin mengurangkan jumlah penjawat awam, sepertimana yang didakwa Najib, ianya tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan ketiga-tiga parti. Dan sepertimana yang diulangi, PAS dan PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu. Begitu juga dengan sebahagian pemimpin DAP.
Sebaliknya, apa yang ingin diusahakan adalah keberkesanan perkhidamatan awam dengan ditingkatkan mutu perkhidmatan. Bukti nyata ialah apa yang dilakukan di bawah kerajaan Negeri PR. Berapa ramaikah kakitangan kerajaan Negeri yang dibuang kalau ada? Jawapannya tidak walau seorang.
Jelas UMNO hanya ingin membohongi bangsa Melayu seperti biasa supaya UMNO kekal berkuasa.
PAS TUNDUK PADA DAP?
Dikatakan juga bahawa PAS terpaksa akur kepada kehendak DAP kerana kalau tidak orang bukan Islam tidak akan mengundi PAS di dalam Pilihan Raya. Maka mereka akan undi siapa? Kalau di Parlimen Shah Alam, sebagai contoh, calonnya dari PAS dan UMNO. Kalau mereka tidak undi PAS, adakah mereka akan undi UMNO? Atau mereka akan mengundi DAP yang tidak bertanding?
Kalau undi DAP maka dikira undi rosak dan sekiranya undi UMNO, maka lagi teruklah akibatnya. Selagi PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam dan menghormati hak bukan Islam seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri, masyarakat bukan Islam akan terus mengundi PAS. Ini adalah kerana UMNO adalah jauh lagi teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Dengan merosakkan Melayu, UMNO merosakkan Negara dan masyarakat bukan Islam memahami perkara ini.
Jelas bahawa sekali lagi UMNO ingin membohongi bangsa Melayu dan bukan Melayu.
KEDUDUKAN KUASA POLITIK MELAYU
Sekiranya PR memerintah di Pusat, kerusi perwakilan Melayu di Parlimen akan tetap seperti sekarang iaitu lebih ramai dari yang bukan Melayu, apabila dijumlahkan keseluruhannya iaitu pemerintah dan pembangkang. Oleh itu, tiada undang-undang atau dasar yang merugikan orang Melayu akan dapat diluluskan sekiranya ada yang berniat melakukannya sekalipun. Maka orang Melayu tidak perlu khuatir atau takut akan masa depan mereka.
Dengan itu mereka boleh turut sama dalam usaha membasmi negara dari budaya politik rasuah, kronisma dan rasis yang dijuarai UMNO dan BN. Ini akan membebaskan masyarakat Melayu dari penjajahan minda Melayu yang dilakukan UMNO selama ini sehingga Melayu terpaksa redha dengan rasuah dan penyelewengan ‘pemerintah Melayu’ atas alasan ‘ingin menjaga kuasa politik Melayu’. Dengan itu bangsa Melayu akan sebenarnya bebas.
Dan akan turut berkembang segar politik Melayu selepas itu setelah dibebaskan dari belenggu yang menghimpitnya selama ini; bebas untuk dicorakkan politik Melayu tanpa rasuah dan kronisma; bebas untuk menuju keredhaan illahi.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
SHAH ALAM, 13 Dis: Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah menyifatkan akhlak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh yang tiada tandingan.
Katanya, sikap kesederhanaan yang ditujunkkan Menteri Besar Kelantan itu sukar dicari pada pemimpin lain khususnya di Malaysia sekarang.
Bukan sahaja sukar dibanding dengan pemimpin lain dalam Umno, malah juga sukar untuk dibandingkan dengan pemimpin PAS yang lain.
"Bagi saya kepimpinan yang ditujukkan oleh kepimpinan Nik Aziz memang tidak ada tandingan, malah sikap kesederhanaan yang ditunjukkan olehnya itu terlalu sukar untuk kita temui pada masa sekarang," katanya dalam Wacana Sinar Harian, PRU13: Undi Siap Jadi Penentu di sini.
Menurutnya lagi, atas faktor itu juga Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu masih releven untuk terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Malah katanya, tokoh PAS itu masih mendapat sokongan majoriti rakyat negeri Kelantan yang diperintah beliau sudah lebih 20 tahun.
"Kita melihat beliau masih lagi disokong oleh seluruh rakyat di Kelantan dan ini tiada sebab untuk beliau tidak bertanding pada PRU13 nanti.
"Saya melihat faktor usia beliau tidak pernah menghalang apa yang beliau lakukan sekarang, malah mengikut kajian sokongan rakyat Kelantan terhadapnya melebihi 80 peratus," katanya lagi.
Abu Hassan yang juga Pengasas Zentrum Future Study Malaysia memberitahu, beliau juga secara peribadi ada memberitahu Nik Aziz agar tidak perlu berundur walaupun terdapat desakan dari pihak tertentu.
Desakan-desakan tersebut ujarnya hanyalah membaitkan kepentingan politik sahaja, sedangkan apa yang penting adalah sokongan dari semua pihak yang masih mahu beliau menjadi menteri besar di Kelantan.
"Apabila menyebut tiada tandingan maka beliau perlu bertanding, desakkan hanyalah permainan politik semata-mata.
"Rakyat Kelantan masih mahu beliau terus tadbir negeri tersebut dan saya yakin beliau mampu memerintah untuk lima tahun yang akan datang," tambahnya dalam sidang media selepas selesai wacana itu.