KUALA LUMPUR, 4 Nov: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap masalah siswazah yang tidak dibuka peluang pekerjaan untuk mereka, kata Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.
"Semua pihak tahu masalah kekurangan guru masih tidak diatasi dan tindakan Muhyiddin menyuruh siswazah-siswazah yang dilatih dalam bidang perguruan mancari kerja lain mendedahkan Muhyiddin kepada tuduhan tidak bertanggungjawab," kata beliau.
Kelmarin, hampir 1,000 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan demonstrasi berikutan kenyataan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengarahkan graduan UPSI "cari kerja lain".
Kenyataan berkenaan telah menimbulkan kemarahan ribuan graduan dan bakal graduan di UPSI dan kampus-kampus lain.
"Untuk apa latih mereka dalam bidang perguruan tetapi disuruh cari kerja setelah mereka dilatih dan mendapat ijazah dalam bidang itu?
"Adakah tidak ada penyelarasan di antara universiti-universiti dan kementerian di bawah Muhyiddin dan adakah universiti melahirkan graduan yang tidak ada tempat dalam pasaran kerja?
"Kalau perkara itu berlaku, ia adalah kelemahan kerajaan dan jangan mangsakan siswazah-siswazah itu," kata Mohamad.
Beliau juga meminta Muhyiddin mengambilkira beban dari segi kewangan dan sosial yang dihadapi oleh siswazah-siswazah itu.
"Mereka berhutang kepada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan saya mesti difahamkan hutang mesti dibayar dalam tempoh tidak sampai setahun selepas mereka tamat belajar.
"Apa akan jadi jika mereka diburu PTPTN selepas ini?" katanya.
Dari segi sosial pula, kata Mohamad, beliau diberitahu tentang pelajar-pelajar yang menghadapi "deraan masyarakat".
"Ada yang dituduh belajar tidak lulus kerana masih tidak berkerja atau melakukan pekerjaan tidak sepadan dengan kelulusan seperti berkerja di kedai kain selepas mendapat ijazah kerana peluang hendak berkhidmat sebagai guru ditutup rapat oleh kementerian Muhyiddin," katanya.
Ada di antara siswazah yang berdemonstrasi itu mengangkat sepanduk dengan luahan "Kami berhutang, kami nak kerja!!!"
Mohamad juga mendesak PTPTN menghentikan tindakan memburu siswazah-siswazah yang belum berkerja untuk menuntut hutang, jika perkara itu berlaku.
"Saya difahamkan banyak sekatan ke atas siswazah yang masih belum membayar hutang PTPTN.
"Jika mereka mempunyai sebab yang munasabah, sekatan tersebut mestilah dilonggarkan atau ditarik balik," kata beliau.
Kekurangan guru terlatih masih lagi merupakan masalah yang meruncing di negara ini.
Sebelum ini dilaporkan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja mengakui Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah guru, antara lain disebabkan sesetengah guru memutuskan untuk meninggalkan ibu negara disebabkan kos hidup yang tinggi.
Menurut mereka, masalah itu yang disebabkan kos hidup tinggi bukan sahaja berlaku di ibu negara, tetapi juga di Johor Bahru dan Pulau Pinang. |
0 Responses
Catat Ulasan