Terlalu banyak penganianyaan dilakukan terhadap rakyat tetapi ramai tidak mengetahuinya ekoran sistem demokrasi tidak sihat di mana media menutup keburukan-keburukan kerajaan atau melaporkan keburukan itu sebagai kebaikan.terlalu banyak penganiayaan dan kezaliman yang berlaku tetapi kita dilekakan dengan hiburan dan sedikit kemudahan. Sedangkan harta kekayaan negara hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja – Presiden PAS
Jangan berpolemik, tukar kerajaan lebih penting
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin-pemimpin yang lebih berwibawa untuk mentadbir negara ini berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN).
Justeru, beliau yang meminta rakyat bersatu padu untuk membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang mengesa semua pihak khususnya penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak tenggelam dengan polemik yang cuba ditimbulkan sehingga menyebabkan perpecah belah.
Kata Abdul Hadi, keutamaan adalah menukar kerajaan BN dahulu yang beliau sifatkan tidak melaksanakan amanah dengan baik.
Presiden PAS itu berkata demikian ekoran tercetusnya polemik ‘siapa timbalan perdana menteri’ sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang.
“Kita jangan jadi seperti dua orang sahabat, seorang mahu merancang untuk memelihara kambing dan seorang lagi mahu menanam sireh…kemudian bergaduh mengenai siapa yang perlu membuat pagar sedangkan kambing dan pakok sireh belum ada lagi,” kata beliau membuat perumpamaan.
Dalam pada itu, beliau juga mengkritik konsep ketuanan yang sering digunakan oleh pemimpin Umno sebaliknya berkata konsep yang betul adalah kepimpinan.
“Kalau ada tuan mesti ada hamba,” katanya menolak konsep itu.
Bagaimanapun beliau melahirkan kekecewaanya apabila pemimpin Umno tidak berjaya menunjukkan kepimpinan yang baik walaupun mereka memilikinya sejak dari negara merdeka lagi.
“Pada asasnya pelbagai kaum dalam negara ini menerima kepimpinan mestilah dari kalangan orang Melayu berdasarkan jumlah orang Melayu yang Islam itu paling ramai (majoriti).
“Tapi malangnya kepimpinan Melayu itu tidak menjalankan amanahnya, tidak bertangungjawab dan tidak menunjukkan wajah kepimpinan yang baik,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam Rakyat Marhaen anjuran Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat serta pelancaran Alumni Bekas Pegawai-Pegawai Felda di Stadium Kajang malam tadi.
Mengulas tentang perubahan dijanjikan Pakatan Rakyat ketika menyampaikan ucapan tersebut, Abdul Hadi berkata ia memerlukan kemenangan menyeluruh kerana kemenangan hanya di beberapa buah negeri sahaja amat menyukarkan untuk melakukan perubahan tersebut.
Sedangkan kata beliau, perubahan di negara ini amat perlu kerana kezaliman pemerintahan kerajaan hari ini terhadap rakyat.
Katanya, terlalu banyak penganianyaan dilakukan terhadap rakyat tetapi ramai tidak mengetahuinya ekoran sistem demokrasi tidak sihat di mana media menutup keburukan-keburukan kerajaan atau melaporkan keburukan itu sebagai kebaikan.
Sebaliknya beliau mendakwa terdapat rakyat yang rumah kediaman dan tanaman mereka dimusnahkan, malah ada berjuta-juta rakyat yang masih tiada tanah untuk rumah kediaman.
Sebahagian yang lain pula katanya, terpaksa bercucuk tanam secara haram kerana terlalu sukar untuk mendapatkan tanah daripada kerajaaan.
“Lihat diri kita dan tanah air kita, terlalu banyak penganiayaan dan kezaliman yang berlaku tetapi kita dilekakan dengan hiburan dan sedikit kemudahan. Sedangkan harta kekayaan negara hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja,” ujarnya.
Justeru beliau menyeru semua pihak supaya sedar dan memperbetulkan semula kepincangan-kepincangan yang berlaku dengan menggunakan hak demokrasi.
Turut berucap dalam majlis tersebut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasation Ismail; Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching; Pengerusi Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman; Naib Presiden SNAP, Dr John Bampar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah.Harakah
0 Responses
Catat Ulasan