.B. .L. .O. .G. .A. .J. .I. .M. .A. .Z.

|Politik... | Isu Semasa... | Merapu... | Macam-macam ada... | bukan sekadar blog... |

Posted by ajimaz 0 ulasan



KUALA LUMPUR, 30 Jan: “Saya bangga walau pun terpaksa dipenjarakan dalam perjuangan menentang ketidakadilan terhadap sebuah keluarga miskin Melayu di Melaka.

“Adakah mana-mana pemimpin BN pernah ke penjara kerana memperjuangkan hak Melayu atau bukan Melayu? Kalau ada pun pemimpin BN yang dipenjarakan, ia adalah kerana penyelewengan dan rasuah dan bukan kerana memperjuangkan rakyat,” demikian kata-kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai menjawab fitnah dan tohmahan lidah rasmi Umno, iaitu Utusan Malaysia, apabila mendakwa kononnya DAP adalah parti paling rasis di dunia.

“Ini menunjukkan betapa kecewanya mereka kerana makin ramai Melayu sudah tidak percaya dalam Umno dan Utusan sehingga mereka menyertai DAP.

“Utusan Malaysia sudah kehilangan kredibiliti, malahan di kalangan Melayu, apabila akhbar itu telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan diarahkan untuk membayar RM200,000 kerana memfitnah saya sebagai anti-Islam dan anti-Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya DAP bangga dengan rekod memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Orang Asli, dan kerana itu, sudah makin ramai orang Melayu tidak percaya kepada pembohongan para pemimpin Umno dan penipuan Utusan tentang DAP.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata keputusan mahkamah terhadap Utusan juga membuktikan bahawa DAP dan beliau sendiri tidak bersifat anti-Melayu atau anti-Islam.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, peruntukan, bantuan kebajikan dan usaha murni untuk orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang telah ditingkatkan berkali-kali ganda berbanding dengan pentadibran BN.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan bahawa serangan Utusan itu berpunca daripada kenyataan balas Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang telah menyeru agar masyarakat Cina terus menyokong BN.

“Kenapa tidak salah apabila Chua menyeru kepada masyarakat Cina untuk bersatu menentang perubahan, tetapi salah apabila Kit Siang menyeru supaya masyarakat Cina untuk bersatu untuk menukar kerajaan dengan menyokong PR?

“Adakah DAP itu sebuah parti rasis kerana meminta supaya tindakan diambil terhadap kes rasuah seperti permintaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai skandal RM250 juta “lembu dan kondo” yang melibatkan keluarga seorang Menteri Kabinet?

“Adakah DAP itu rasis kerana menyerang Umno yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kehilangan saham Bumiputera berjumlah RM52 bilion yang sepatutnya diberikan kepada orang Melayu miskin yang tidak menerima walau satu saham pun?

“Adakah DAP itu rasis kerana mempersoalkan konsesi lebuh raya Banting-Taiping selama 60 tahun dan berjumlah RM7.07 bilion kepada Kumpulan Europlus Bhd yang dimiliki seorang bukan Melayu?” soal beliau.

Beliau menambah bahawa Utusan Malaysia sudah tidak relevan lagi apabila orang Melayu pun sudah tidak percaya dalam fitnahnya.

Guan Eng juga membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin kerana menggelar DAP cauvinis sedangkan DAP adalah parti berbilang kaum yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Menurutnya Muhyiddin tidak berhak menuduh DAP kerana Timbalan Presiden Umno itu sendiri sudah mendabik dada mengumumkan bahawa beliau adalah “Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian”.

Katanya keengganan Muhyiddin untuk mengutuk Utusan Malaysia kerana menggambarkan tragedi rusuhan Mei 13 yang mengakibatkan kematian beribu-ribu rakyat Malaysia sebagai “hari keramat” jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang bersikap cauvinis dan rasis

Posted by ajimaz 0 ulasan

Tidak kiralah sama ada media tv, radio atau media cetak, selagi ianya dikawal dan dikuasai oleh UMNO/BN, kesemuanya sudah hilang kewarasan dan akhlak manusiawi. Memang mengaib dan memalukan! Media di Malaysia yang dikendalikan oleh orang yang mengaku beragama Islam memiliki akhlak dan moral yang telah rosak sehingga menjunam ketahap paling rendah berbanding pengendali media Barat yang rata-ratanya tidak beragama Islam.

Kita lihat dengan mata dan hati yang bersih, seorang Kapten kapal penumpang yang kapalnya telah terlanggar batu karang di kepulauan Itali baru-baru ini, mengakibatkan kapal tersebut senget lalu tersadai di perairan yang cetek, telah diberi ruang oleh media BBC, CNN, ALJAZEERA, CCTV bagi menjelaskan cerita sebenar mengikut versi Kapten kapal tersebut.

Walhal, pada awal berita yang disiarkan, banyak pihak telah menuding jari kearah Kapten kapal tersebut kerana kononnya telah mengemudi kapalnya terlalu hampir kepada tebing yang cetek airnya. Apabila beliau diberikan ruang seadilnya bagi menjelaskan rentetan peristiwa yang membawa kapal tersebut tersadai lalu terbalik kebahagian sebelah 'port' (kanan), rakyat dan penonton disajikan dengan berita dan gambaran dari dua pihak yang bertentangan i.e. yang membuat tuduhan dan yang kena tuduh. Itu cerita pasal media yang dikendali oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Bagaimana dengan media Malaysia, media yang diikendalikan oleh orang-orang yang mengaku beragama Islam? Orang Islam diajar supaya takut dengan kerja-kerja fitnah, takut dengan balasan pada Hari Mahsyar, takut dengan balasan didunia dan akhirat!

Banyak sejarah yang telah dipaparkan dengan cerita-cerita yang mengerikan tentang balasan keatas pembuat dosa! Kenapa media Malaysia masih terus menabur fitnah bahawa kononnya Anwar Ibrahim menyokong hak lelaki mengahwini lelaki dan lelaki meliwat lelaki!! Itu lah yang saya dengar dengan mata telinga saya sendiri.

Nazri Aziz kutuk Anwar, Rais Yatim kutuk Anwar, yang kesemuanya berpunca daripada rasa dendam kesumat mereka keatas kehebatan sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap PR yang diketua Anwar Ibrahim.

Lebih menyedihkan apabila seorang yang bergelar Mufti, Tan Sri Harussani Zakaria, tanpa usul periksa telah membuat kesimpulan sendiri di atas ucapan Anwar sewaktu di interviu oleh BBC London berhubung isu gay. Mana hak Anwar untuk menjelaskan isu tersebut di media Malaysia yang telah dilacur semahunya untuk terus menikam peribadi Anwar?? Kenapa bertindak zalim dan aniaya keatas Anwar Ibrahim?? Kenapa takut beri laluan kepada Anwar bercakap dimedia Malaysia yang dikendalikan oleh orang yang mengaku beragama Islam??

Saya meneliti dan cuba memahami apa yang diungkapkan oleh Anwar dalam interviu BBC tersebut. Saya mengesahkan bahawa tiada suatu bukti sekecil zarah sekalipun yang Anwar pernah mengeluarkan kata-kata menyokong hak gay.

Saya berpesan kepada pengendali media Malaysia, cukuplah, cukuplah, cukuplah. Takut lah kamu akan doa orang yang dianiaya dan dizalimi. Tiada hijab doa diantara mereka dengan Allah s.w.t

Sedarlah bahawa sekuat manapun sokongan kamu keatas Najib, UMNO dan BN, mereka pasti akan jatuh tersungkur menyembah bumi. Pelajari sejarah kejatuhan Hosni Mubarak dan lain-lain pemimpin yang zalim yang menyalahgunakan kuasa mereka sepanjang mereka meneraju negara diatas kesengsaraan rakyat mereka.

Posted by ajimaz 0 ulasan



Ramai yang berbeza pendapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak tentang isu Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU), namun ia tidak sepatutnya menidakkan kehebatan MB Kedah ini.

Berikut adalah catatan seorang wartawan Harakah, AZAMIN AMIN tentang Azizan Razak sebagaimana yang beliau kenali. Tulisan ini sudah lama tetapi masih relevan untuk memahami isu di Kedah.



KEDIAMAN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

HARGA KEMEJA MB


Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini, beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA


Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.
Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!

SERI MENTALOON


Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.

Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

PERANGKAP WARTAWAN


Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

RAMADAN


Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!
Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

Posted by ajimaz 0 ulasan



KUALA LUMPUR, 19 Jan: Keuntungan yang dikaut oleh syarikat pembina lebuh raya melalui kutipan tol adalah berlebihan, tidak masuk akal dan menindas rakyat.

“Ini untung maha besar, untung 'maha firaun',” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini, beliau tampil berkongsi data peratusan hasil daripada kos pembinaan lebuh raya Malaysia yang diperoleh melalui jawapan Parlimen.

Beliau sambil merujuk kepada peratus keuntungan berlipat kali ganda yang diperolehi dari projek-projek lebuh raya seluruh negara. Antara yang paling tinggi keuntungannya ialah Lebuhraya Metramac yang mencatat keuntungan 877% daripada kos asal pembinaan yang hanya berjumlah RM45 juta.

Tambah mengejutkan ialah kekayaan yang dikumpul melalui projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengaut keuntungan 308% sebanyak RM 18 bilion, setelah ditolak kos pembinaannya sebanyak RM 5 bilion; dengan tempoh konsesi selama 50 tahun sehingga tahun 2038.

Begitu juga dengan projek lebuh raya KL – Karak yang untung hampir RM1 bilion (202%), diikuti Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dengan keuntungan RM1.6 bilion (149%) berbanding kos pembinaan sekitar RM1 bilion.

“Anak, cucu, cicit kita pun akan terus bayar tol,” ujar Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya tol yang membebankan rakyat tetapi memperkayakan kroni ini mesti dihapuskan, merujuk kepada Lebuhraya Metramac, Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL – Karak, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Cheras Kajang dan Jambatan Pulau Pinang.

Guan Eng turut mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat secara terbuka memandangkan menteri tersebut telah membuat kenyataan bahawa penghapusan tol yang dijanjikan Pakatan Rakyat adalah tidak masuk akal.

“Mengapa kita tak boleh hapuskan tol bila PLUS untung 308%? Mari bahas mengikut isu dan fakta, bukan dengan emosi dan sentiment.

“Dia seorang menteri, saya seorang Ketua Menteri, kami setara. Mari kita berdebat demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Posted by ajimaz 0 ulasan

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali yang merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam merupakan suatu kenyataan yang amat pelik dan mengelirukan.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, DPPM merasa kesal kerana Che Mat begitu mudah menghalalkan penggunaan wang zakat oleh Datuk Seri Jamil Khir dan MAIWP dengan alasan ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

Katanya, DPPM mempersoalkan, bagaimana Che Mat boleh mendefinasikan kes penggunaan wang zakat sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

Ini, ujarnya kerana saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap individu terbabit kerana beliau mahu membawa kesnya di mahkamah syariah sebaliknya ia dinafikan dan akhirnya ia dibawa ke mahkamah sivil.

“Adakah usaha mempertahankan kes Anwar daripada dibawa ke mahkamah syariah juga boleh dikategorikan sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’?

“Bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dianggap ‘mempertahankan kedaulatan Islam’ kerana mahu membawa kesnya ke mahkamah syariah dengan mengikut undang-undang Islam, tetapi haknya dinafikan sehingga beliau diheret ke mahkamah sivil?” soalnya.

Selain itu, kata beliau sekiranya benar duit zakat yang digunakan oleh Datuk Seri Jamil Khir adalah ‘untuk mempertahankan kedaulatan Islam’, mengapa duit zakat itu dipulangkan balik.

Soalnya lagi, mengapa ia tidak terus dianggap sebagai asnaf yang layak mendapat zakat.

Beliau berkata, pemulangan duit zakat itu menunjukkan seolah-olah MAIWP bersetuju bahawa duit zakat itu tidak patut digunakan untuk kos guaman maka ia perlu dipulangkan balik setelah mendapat peruntukan kerajaan.

“Adakah dengan kenyataan Datuk Che Mat menunjukkan MAIWP mengakui bahawa kos pendahuluan untuk kes guaman tersebut menggunakan duit zakat?” katanya.

Jika begitu, kata beliau mengapa daripada awal MAIWP dan Jamil Khir menafikan penggunaan duit zakat sebaliknya menjelaskan ia diambil dari peruntukan kerajaan.

Jika Che Mat mengakui demikian, ujar beliau ia bermakna MAIWP dan Jamil Khir telah berbohong kepada rakyat sehingga akhirnya terpaksa mengakui malah membenarkan penggunaan duit zakat atas alasan untuk ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

“Sudahlah berbohong, menghalalkan penggunaan duit tersebut pula demi mendaulatkan Islam, seolah-olah bagi Datuk Che Ali, duit itu adalah halal untuk kegunaan kos guaman Datuk Seri Jamil Khir dan beberapa orang yang lain,” ujarnya.

DPPM, ujarnya musykil adakah dengan kenyataan itu ia bermaksud mereka yang mempunyai kes mahkamah dengan isu yang sama seperti Jamil Khir berhak mendapat zakat sebagaimana keistimewaan yang diterima oleh beliau.

Jika demikian, tambah beliau DPPM akan mewar-warkan kepada umat Islam yang mempunyai kes mahkamah atas isu yang berkaitan boleh memohon zakat kerana alasan ‘ingin mempertahankan kedaulatan Islam’.

“Mungkinkah umat Islam boleh mendapat hak dan layanan yang sama seperti yang dinikmati oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri?” tanya beliau.

Posted by ajimaz 0 ulasan

Datuk, akhir-akhir ini selalu sangat orang memperkatakan bahawa PAS telah melencong daripada perjuangan asalnya. PAS didakwa meninggalkan Islam dan telah tidak lagi memperjuangkan Negara Islam dan berubah kepada Negara Berkebajikan. Ini tidak pernah disebut oleh pemimpin PAS terdahulu. Saya keliru kerana diulang-ulang dan disebut oleh media masa, sedangkan yang menyanggahnya jarang kedengaran. Apa pandangan dan nasihat Datuk kepada orang-orang seperti saya supaya teguh berdiri bersama PAS? Terima kasih Datuk.

Penyokong PAS Tegar, Dungun, Terengganu.

PIHAK yang memperkatakan kononnya PAS telah melencong dan terbabas dari perjuangan asalnya, dengan meninggalkan Islam dan berbagai-bagai lagi, adalah dakwaan media massa yang memusuhi perjuangan PAS.Tugas utama mereka adalah untuk mempromosikan parti pemerintah dan memburuk-burukkan lawannya terutama PAS. Dengan apa mereka hendak memburuk-burukkan PAS?

Itulah kerja media yang tidak senang dengan PAS. Selagi PAS teguh memperjuangan Islam, selama itulah Umno-Barisan Nasional tergugat dan akhir-akhir ini semakin tergugat. Oleh kerana itu mereka berusaha melemahkan PAS dengan apa cara pun.

Sebenarnya PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah kepada yang tidak Islam.

Bukti yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah.

Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pada Perlembagaan PAS, Fasal 3, tujuan PAS ialah:

(i) Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Di dalam PAS ada Majlis Syura Ulama, yang di antara tugas utamanya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 7 (B):

“Mengeluarkan arahan dan perintah, supaya dasar dan ketetapan itu, dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara, supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan gerakan dan pentadbiran PAS.”

Semua yang saya nyatakan berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik, tanpa berlaku penyelewengan dan kelencongan.

Pihak yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya, meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang zaman.

PAS tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan.

Apa yang disebut Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam, itu sebenarnya istilah. Maknanya sama dan tidak berubah.

Malah menamakan Negara Islam dengan nama Negara Berkebajikan, tidak bercanggah dengan Islam.

Di dalamn al-Quranul karim tidak terdapat istilah Negara Islam secara jelas dan terang. Yang ada seiras dengannya adalah istilah ‘Baldatun Tayyibah’ sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya adalah bagi penduduk negeri Saba’, ada suatu tanda kemurahan Allah yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua bidang kebun yang luas lagi subur yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Lalu dikatakan kepada mereka itu, makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya dan negeri kamu itu adalah negeri yang Tayyibah (Baik atau berkebajikan) dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’ ayat 15)

Ketika Presiden PAS membentangkan istilah Negara Berkebajikan dalam muktamar yang lepas (Jun 2011), tidak ada sesiapa pun yang meragui istilah itu dan tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya di dalam muktamar.

Biasanya, jika ada sesuatu yang tidak kena, ahli dalam muktamar PAS akan menimbulkan berbagai pandangan, teguran dan bangkangan. Yang ternyata muktamar telah menerima.

Apabila ini berlaku, maka ianya adalah sesuatu selaras dengan perjuangan PAS.Penyebar-penyebar fitnah ke atas pejuangpejuang Islam, bukan perkara baru, malah sejak dari zaman sahabat Rasulullah s.a.w, yang memperjuangkan Islam pada waktu itu, musuh-musuh Islam dari kalangan musyrikin dan munafikin, telah menyebar fitnah yang lebih besar.

Antaranya dahulu, mereka menyatakan, ‘Muhammad adalah ahli sihir, dia gila, pembawa cerita dongeng, pemecah perpaduan umat Arab, dia menyembah berhala (Kaabah).’ Berbagai-bagai lagi fitnah dilemparkan terhadap Nabi s.a.w dan para sahabat baginda.

Oleh yang demikian, anda tidak harus mengendahkan media-media musuh Islam yang memang itu kerja mereka.

PAS sekarang, tetap PAS seperti dahulu, tetap memperjuangkan Islam yang syumul, tanpa menghiraukan kata-kata orang menentang.

Berpandulah kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya): “Akan sentiasa wujud di kalangan umatku segolongan orang-orang yang memperjuangkan Islam yang sebenar, tanpa menghirau celaan orang yang suka mencela, sehingga kemenangan yang nyata, berhasil pada akhirnya.” Wallahua’lam.

Posted by ajimaz 0 ulasan

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim yang satu ketika dulu meninggalkan PKR dengan kritikan keras terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil inisiatif untuk bermaaf-maafan dengan Ketua Umum PKR, hari ini, sehari sebelum tarikh 901.

Pada 9 Januari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan perbicaraan kes liwat versi II selepas perbicaraan yang penuh kontroversi berlangsung tahun lepas.

Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Anwar, I hav said some harsh things abt you. I am sorry. Politics sometimes bring the worst in us. I hope you will be fairly treated.

(Anwar, saya telah mengatakan sesuatu yang amat kasar pada anda. Saya mohon maaf. Politik ini kadang-kadang membuat kita melakukan benda terburuk. Saya harap anda akan dilayan dengan adil),” tulis Zaid di Twitter.

Dalam jawapannya, Anwar menjawab, “Thank you and continue to support the reform agenda (Terima kasih, dan teruskan menyokong agenda reformasi).”

Tahun lepas, Zaid meninggalkan parti PKR selepas pertarungan sengit dengan Azmin Ali, untuk jawatan timbalan presiden parti, yang dimenangi Azmin pada akhirnya.

Akhirnya Zaid menubuhkan parti Kita. Zaid mula berbaik dengan pembangkang semula sejurus perhimpunan agong Umno selesai dan mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sebaliknya akan memberikan sokongan kepada parti pembangkang.

Zaid menyifatkan ucapan-ucapan pemimpin Umno semasa perhimpunan agong sebagai merbahaya dan tidak bertanggungjawab, dan oleh itu, bagi menunjukkan perpaduan kita kepada rakyat Malaysia, dan penolakan Kita kepada apa jua idea fasis dan berkuku besi, Zaid menyatakan bahawa Kita akan terus menyokong platform pembangkang dengan harapan untuk membawa perubahan sebenar.

Selasa lepas, Zaid mempertahankan Pakatan Rakyat daripada kutukan dan perbuatan Raja Petra Kamaruddin, yang disifatkan ramai sebagai kawan akrabnya, yang mengutuk Anwar dan Pakatan Rakyat dengan tuduhan tidak berasas pada January 1, di semua media Umno.

Menulis di blognya ketika itu, Zaid berkata walaupun ada perkara yang beliau berbeda dengan Anwar, tapi beliau mengakui jasa Anwar dalam menguatkan barisan pembangkang negara.

Dalam temubual bersama Malaysiakini, Anwar berkata tiada siapapun, termasuk Zaid yang patut dikutuk untuk seumur hidup dalam politik

Subscribe to My Blog

Subscribe Here